Anda di sini

MYAirline tambah laluan baharu bagi Tawau dan Miri

Advertisement
MYAirline menambah penerbangan ke Tawau dan Miri.
MYAirline menambah penerbangan ke Tawau dan Miri.

KUCHING: MYAirline Sdn Bhd (MYAirline), sebelum ini dikenali sebagai Z9 Elite Sdn Bhd, hari ini melancarkan dua laluan baharu ke Tawau dan Miri, menambah lebih banyak destinasi bagi negeri Sabah dan Sarawak.

Menurut kenyataan pihak MYAirline hari ini, tambang dari Kuala Lumpur bermula dari serendah RM89 ke Miri dan RM109 ke Tawau. 

"Tambang ini boleh didapati di laman web dan aplikasi mudah alih MYAirline dengan tempoh tempahan dari 16 hingga 22 Disember 2022. 

"Tempoh perjalanan untuk kempen ini adalah dari 21 Januari sehingga 25 Mac 2023," katanya.

MYAirline akan memulakan penerbangan sekali sehari dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) ke Tawau mulai 21 Januari 2023. 

Syarikat penerbangan itu akan mengembangkan rangkaiannya ke Miri mulai 1 Mac 2023 dengan penerbangan sekali sehari. 

Mulai 15 Mac 2023 dan seterusnya, kekerapan penerbangan bagi laluan Kuala Lumpur ke Miri akan ditingkatkan kepada dua kali sehari.

Ketua Pegawai Eksekutif MYAirline Rayner Teo, berkata, pihaknya teruja untuk menambah lebih banyak laluan domestik terutamanya ke Sarawak dan Sabah. 

Laluan baharu itu selaras dengan misi pihaknya untuk memupuk pertumbuhan pelancongan tempatan khususnya di Malaysia Timur. 

"Kami ingin menyokong pergerakan perjalanan untuk rakyat Malaysia dan pelancong untuk ke Sabah atau Sarawak dengan pilihan yang berpatutan sama ada untuk bekerja, lawatan keluarga atau percutian.

"Dengan aplikasi mudah alih kami yang baru dilancarkan, penumpang boleh membuat tempahan perjalanan mereka mengikut keselesaan," tambah beliau lagi.

MYAirline juga akan meningkatkan kekerapan penerbangannya dari KLIA2 ke Kota Bharu dari dua kali sehari kepada tiga kali sehari penerbangan mulai 1 Mac 2023. 

Mulai 15 Mac 2023, syarikat penerbangan itu akan meningkatkan kekerapan penerbangannya daripada dua kali sehari kepada tiga kali sehari dari KLIA2 ke Pulau Pinang.

Rangkaian laluan semasa MYAirline terdiri daripada empat destinasi dalam Malaysia, dengan penerbangan ke Kuching, Kota Kinabalu, Langkawi dan Kota Bharu.

Tambang adalah termasuk cukai lapangan terbang, ujarnya.

Penerbangan dan tambang adalah tertakluk kepada ketersediaan dan adalah untuk perjalanan sehala sahaja.
 

Advertisement