Anda di sini

UKAS galas tanggungjawab sebar fakta, bantu pembangunan negeri: Abdullah

Advertisement
 Abdullah menyampaikan cek sumbangan kepada Kelab Kebajikan UKAS pada Majlis Makan Malam di Kuching, malam Ahad.
DANA: Abdullah menyampaikan cek sumbangan kepada Kelab Kebajikan UKAS pada Majlis Makan Malam di Kuching, malam Ahad.

KUCHING: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) sentiasa memainkan peranan penting dalam memikul tanggungjawab menyebar fakta yang sahih ke arah membantu usaha pembangunan negeri ini.

Demikian kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol pada Majlis Makan Malam UKAS ‘Sehati Sejiwa’ di sini, malam Ahad.

Memetik laporan UKAS, Abdullah berkata, UKAS bersama agensi media lain juga bertindak sebagai medium penyampaian berita dan informasi yang berkesan kepada semua lapisan masyarakat.

Sebagai media rasmi kerajaan negeri katanya, UKAS memainkan peranan bagi memaparkan maklumat yang tepat sekali gus menangkis laporan yang memburuk-burukkan kerajaan menerusi penyebaran berita palsu untuk menghasut pemikiran rakyat.

“Justeru, semua warga kerja UKAS perlu membina budaya kerja yang lebih efisien malah meningkatkan kepakaran sedia ada dalam teknologi maklumat dan komunikasi.

“Peranan dan sumbangan warga UKAS khususnya kakitangan yang turun ke lapangan untuk mendapatkan maklumat terkini amat kita hargai demi mendapatkan laporan yang tepat, pantas dan terkini,” katanya.

Beliau turut memberitahu operasi UKAS akan terus diperkasa dengan penambahbaikan baharu yang akan mempertingkatkan sistem urus tadbir dan penyebaran maklumat.

“Maklumat-maklumat berkaitan hala tuju kerajaan negeri perlu diketahui dan difahami oleh rakyat di negeri ini sekali gus membantu kerajaan menyampaikan agenda dirancang,” ujarnya.

Pada majlis itu, Abdullah turut menyampaikan cek sumbangan kepada Kelab Kebajikan UKAS untuk menjalankan pelbagai aktiviti pada tahun 2023.

Hadir sama Pemangku Pengarah UKAS Samuel Simon, ketua-ketua seksyen UKAS, warga kerja UKAS dan tetamu kehormat lain.

Advertisement