Anda di sini

Isoptera Yang Bermimpi

Advertisement
 

Oleh David Belulok

“ITU KEWAJIPAN! Kewajipan yang harus kau laksanakan sebelum menjadi anai-anai. Sebelum tumbuh sepasang sayap yang akan mengubah seluruh hidupmu, sayang....” 
     Lembut bisikan ibu ratu ke telinganya. Kata-kata itu bagaikan azimat yang terpendam kukuh di sanubari. Kata-kata yang sentiasa merangsang mindanya agar sentiasa berusaha untuk mencapai sesuatu yang bererti selagi masih ada hayat. Kalau diizinkan, dia ingin mengatasi apa yang pernah dicapai oleh leluhurnya sebelum ini. Dalam jiwanya bergelora sejuta perasaan yang menyentap setiap denyutan nadi. Dia tidak sabar lagi untuk menjadi dewasa.
    Dia tidak pernah ingin mengerti apakah perlunya wujud sang Isoptera sepertinya. Tuhan menciptakan leluhurnya dan keturunan selepas mereka sehingga ke generasinya kini. 
     “Apakah kami ini indah di mata Tuhan? Bukankah kami hanya sang Isoptera kerdil? Merayap di setiap permukaan bumi. Mencari makanan dari celah akar tumbuhan. Cuma kadang kala otak kami sedikit sofistikated, lalu berani menongkah maut memasuki ruang privasi manusia. Merobek dinding papan atau lantai kayu yang rapuh.” 
     Dia seperti ingin menyelongkar peti rahsia ribuan tahun yang tidak pernah mengurniakan sekelumit jawapan. Dia sedar bahawa pemikiran yang sofistikated itu memang tidak digalakkan. Ibu ratu sering berpesan agar tidak terlalu leka apabila memasuki ruang kehidupan manusia. Ramai yang sudah kecundang. Kehidupan mewah menumpang di celah lantai rumah atau sudut sadau selalunya tidak kekal lama. 
     Manusia akan bertindak memusnahkan bangsa Isoptera dengan siraman air busuk memabukkan. Sikap manusia sebenarnya lebih rakus, ganas dan tiada belas kasihan. Bayangkan, papan lantai yang ditumpang ribuan generasi baharu seusianya musnah begitu sahaja dalam nyalaan api dan kemudian diganti dengan papan lantai yang baharu. Sudah tentu manusia tidak mahu ada lagi saki-baki Isoptera sepertinya meneruskan sisa kehidupan di situ. 
Manusia langsung tidak memberi ruang walau sepicing walaupun kiranya mereka mampu memohon kemaafan. Suara bangsanya yang melolong langsung tidak diendahkan oleh mereka. Apalah erti wujud sang Isoptera? Persoalan itu bagaikan sesuatu yang membentak-bentak di kepalanya. Kalaulah semua makhluk di atas muka bumi ini mempunyai ‘sepasang mata’ seperti Tuhan, mereka akan melihat semuanya penuh keindahan walau untuk kehidupan sekecil kuman. 

                    *    *    *    *

Matahari terasa membahang. Setelah sehari suntuk meredah belukar akhirnya pandangannya segera tertambat pada timbunan busut di hadapan. 
     Dia masih kenal benar dengan busut yang sudah sedikit usang itu. Di dalam busut itulah dia dilahirkan. Di dalam busut itu ada cinta. Di dalam busut itu pernah bertumbuh kasih sayang. Di dalam busut itu juga dia belajar erti kedewasaan. Di dalam busut itu juga keinginan untuk berhijrah dan membina kelainan dalam hidup terus terbina di hatinya.
     Tetapi hari ini dia bulatkan tekad. Busut itu harus ditinggalkan. Dia akan menjelajah alam yang tidak terkira luasnya ini. Dia tidak ingin terus terperap di dalam timbunan kayu reput dan menjadi hamba kepada ibu ratu yang kekenyangan tanpa bekerja walau seminit pun. Di hati kecilnya tidak pernah terlintas walau sekelumit rasa untuk mengkhianati ibu ratu. 
     ‘Dari perut ibu ratu yang membulat itulah aku lahir. Suara ibu ratu adalah suara pertama yang aku dengar ketika pertama kali keluar dari telur. Syukur kerana aku lahir tidak sebagai hamba atau tentera. Aku lahir sebagai peneroka. Sepasang sayap bakal tumbuh yang membolehkan aku terbang. Budi ibu ratu terlalu besar buatku.’ 
     Monolog dalam dirinya membuat dadanya sebu. Dia masih ingat, ketika masih terkontang-kanting menyusun langkah pertama, ibu ratu tetap menjaganya dengan baik. Namun, sedikit rasa ingin tahu yang mencubit ruang rasa membuat dia semakin cuak. Bisikan kecil mengocak rasa ingin tahu pada mulanya. Kini keinginan itu meluap-luap seperti memulas segenap anggota tubuhnya yang kenit itu.
    “Kalau sudah tumbuh sepasang sayap, kau akan bisa terbang menjelajahi segenap rimba raya. Tetapi kau harus selalu waspada. Waspada kepada unggas. Waspada kepada cicak atau sumpah-sumpah, malah katak juga. Waspadalah juga terhadap cahaya. Jangan tergoda dengan cahaya malam yang selalunya mengelirukan. Ramai sebangsa kita yang mati kerana kegilaan terhadap cahaya yang berkerdipan di setiap sudut rumah atau tepian jalan-jalan kota. Kerdipan cahaya itu yang akhirnya membuat mereka kecundang dalam ghairah yang mematikan.” 
     Amanat ibu ratu itu kembali terngiang, lembut menyentuh jiwanya. Kasih sayang ibu ratu terbungkus kukuh dalam sanubari kecilnya lalu dibawa sebagai bekalan dan pedoman hidup. 
     Ternyata dalam meniti kehidupan ini banyak sangat yang dia perlu beringat. Dia sedar hakikat yang usianya di dunia ini tidak lama. Apabila sepasang sayap itu jatuh, riwayatnya juga bakal berakhir. Sebab itulah hajat yang tersemat dalam dirinya perlu segala dilaksanakan. Dia perlu membina sesuatu yang berharga sebelum ajal menjemput pulang. 
    “Aku ingin membina sebuah busut yang tinggi. Aku akan membina koloni aku sendiri. Aku akan membina hidup sendiri. Aku sedar tugas yang menantiku di hadapan berlipat ganda banyaknya. Aku perlu belajar membina busut atau setidak-tidaknya menebuk kayu buruk untuk dibuat sarang. Tempat beranak-pinaknya ratu hatiku kelak. Tempat membiaknya keturunanku.” 
     Keazaman itu umpama mimpi indah. Namun, mimpi itu adalah sesuatu yang perlu ada dalam diri setiap makhluk yang bernyawa. Ada mimpi bermakna ada keinginan. Ada keinginan maknanya ada usaha. Bermimpi tanpa berusaha hanya kedegilan dan kegilaan semata-mata. Seorang manusia tersohor daripada kalangan pemimpin dunia pernah berkata, “Bermimpilah setinggi langit, jika engkau jatuh engkau akan jatuh di antara bintang-bintang.” Madah itu sungguh berbisa. Besar maknanya dalam membina realiti kehidupan.
    Dia juga pernah terdengar cerita bala tentera Isoptera. Di hujung dunia yang luas ini ada kehidupan yang amat mengasyikkan. Ada manisan semanis madu dan segala jenis makanan yang cukup untuk dimakan oleh jutaan makhluk sepertinya. Namun risikonya besar. Ada kemungkinan akan disembur racun. Ada kemungkinan akan hilang nyawa. Sudah ramai juga makhluk seperti mereka yang kecundang akibat semburan racun itu. 
    Semalam hasratnya untuk membawa sepasukan perisik Isoptera yang paling dipercayai untuk memasuki ruangan baharu di tepian perkebunan manusia dihalang oleh segerombolan semut api. Dia terpaksa mencari jalan selamat dengan berundur sahaja daripada mencetus permusuhan. Mencipta musuh bukanlah pilihan terbaik dalam membina impian. Memang terlalu banyak halangan yang terpaksa dihadapinya. Dia harus akur bahawa bukan mudah untuk melepasi segala dugaan hidup. 
     Persoalan demi persoalan kembali mengisi ruang fikirannya. Mengapa kehadiran makhluk sekecil mereka tidak pernah disenangi oleh manusia? Mengapa serangga lain malah haiwan-haiwan kecil ingin menjadikan mereka santapan mudah? Kalau mengikut sejarah keturunan, mereka bukanlah makhluk yang boleh membunuh. Mereka tidak menyakitkan walaupun ada antara kelompok mereka yang mampu menggigit. Itu pun kerana mereka itu kelompok askar yang tugasnya menjaga sang ratu. Jadi kalaupun mereka menggigit, mereka hanya melaksanakan kewajipan. Ibu ratu yang montel dan tergolek-golek itu perlu dijaga agar dia mampu melahirkan zuriat berjuta-juta banyaknya.   

 

                      *    *    *    *

Perjalanan hari itu terasa terlalu jauh. Sepasang mata kecilnya liar memerhati segenap ruang yang ada. Belum juga ditemui tempat yang sesuai untuk membina sebuah tamadun. Pesan ibu ratu kembali terngiang, mereka adalah kelompok Kalotermitidae. Mereka sepatutnya bukan musuh kepada sesiapa pun, apatah lagi manusia. Merekalah yang banyak membantu menguraikan tanah dan daun-daun kering. Tanah dan daun kering yang terurai boleh menjadi kompos jika digunakan dengan baik. 
     Dia pernah terserempak dengan kelompok Rhinotermitidae. Mereka inilah kelompok yang suka merosakkan tanaman. Mereka merosakkan buah-buahan yang ditanam oleh manusia. Tetapi manusia jarang tahu membezakan. Asal anai-anai pasti mereka sembur dengan cecair memabukkan sehingga ramai kaum mereka yang mati bergelimpangan tanpa tahu apakah salah dan dosa yang telah dilakukan. Busut yang mereka bina dimusnahkan tanpa belas kasihan. Kaum mereka lari bertempiaran tanpa dapat menyelamatkan apa-apa. Hanya membawa secebis nyawa yang tiada nilai dan harga pada pandangan manusia.
    Terlintas nun jauh di nubarinya supaya sang Isoptera sepertinya dapat membuktikan sesuatu kepada manusia suatu masa kelak. Perlu membuktikan bahawa mereka bukan perosak. Bukan semua Isoptera perosak tanaman. 
     “Kamilah yang menguraikan kayu reput dan daun-daun kering. Kami jadikannya baja asli untuk memberi makanan kepada tumbuhan lain!” 
     Hatinya bertempik kesal. Namun tempikan itu hanya terpantul antara rumput-rumput kering. Hatinya kembali resah setiap kali memikirkan persoalan yang tidak berkesudahan itu. 
     Cebisan kayu yang terkepit erat di celah giginya yang tajam itu diletak perlahan-lahan di atas tanah. Terik matahari tidak mematahkan semangatnya. Di celah banir pohon mempelam di tepi sebuah kolam terbiar itu sesuai benar dibina sebuah busut baharu. Sudah lama dia mengukir reka bentuk busut yang ingin dibinanya itu. Di dalamnya kelak akan ada ribuan petak-petak kecil yang memisahkan setiap kelompok. Tentera, pekerja, perisik malah ibu ratu perlu ada ruang privasi sendiri. 
     Hari ini dia akan menghantar khabar kepada Urai, kepada Sagit, Lasa dan Semawi. Esok kalau pesanannya sampai kepada mereka, pasti berduyun-duyun para pekerja dan tentera yang setia kepadanya akan datang. Dalam masa singkat, busut yang bagaikan istana impiannya itu pasti akan terbina. Di situ kelak seorang ratu yang montel akan duduk di singgahsana kaca. Dikelilingi para dayang yang akan menyuapnya makanan enak. Esok akan lahir lagi jutaan Isoptera Kalotermitidae muda perkasa yang bakal menerajui dunia kecil mereka.
     Dia sedar, dia tidak lagi mempunyai kitaran hidup yang lama. Dia akan bertukar menjadi kelekatu jantan. Sayapnya juga perlahan-lahan akan hilang. Dia hanya mampu memberi zuriat kepada ratu yang akan dipilihnya kelak. Ini penting dalam kitaran hidup Isoptera sepertinya. Apabila sebuah busut baharu terbina kelak, dia akan jadikan busut itu sebuah istana cinta terindah. Itulah hadiah terakhir. Namanya perlu dilarik dan ditakik pada setiap dahan kering untuk ingatan Isoptera yang ingin maju. Jika terlahir seekor Isoptera sepertinya kelak, mereka akan tahu bahawa makhluk kecil seperti mereka juga ada cita-cita dan keinginan. Mereka tidak seharusnya terperap di dalam busut gelap tanpa mengetahui perkembangan dunia. 
     Matanya dialih ke langit yang membumbungi dunia kecilnya. Dia faham ada awan hitam berarak ke barat. Angin semilir yang menggesek-gesek batang lalang menandakan cuaca akan berubah tidak lama lagi. Untuk petang itu dia perlu mencari tempat berlindung sementara menunggu ketibaan Urai, Sagit, Lasa dan Semawi. Tentu esok suasana lebih meriah kerana ribuan bala tentera juga akan tiba membawa peralatan untuk membina istana busut idamannya. 
     Dia hilang seketika dalam keletihan yang menutup ruang angan-angannya. Dalam hati kecilnya tetap mengharap agar segala impiannya turut terbina di dunia fantasi. Apabila dia bangun besok pagi, fantasi itu akan menjadi panduan untuk melukis dunia realiti yang sekian lama terbuku dalam hati.

               
*    *    *    *

Hatinya puas. Senyuman kecil terukir menandakan segalanya berjalan seperti perancangannya. Dia melihat kesungguhan yang ada pada Semawi, Lasa, Urai dan Sagit. Kepakaran sahabatnya itu dalam meneliti reka bentuk lukisan istana busut impiannya membuat hatinya berbunga-bunga.
    Ketuk-ketuk kecil serta bunyi geseran para tentera Isoptera serta para pekerja yang saling bekerjasama ternyata membuat ripuh di hatinya sedikit terubat. Daripada tanah-tanah kering yang dibasahi dengan air liur para pekerja, akhirnya terbina dinding kukuh untuk bermastautin generasi Isoptera muda yang bakal menjadi generasi penerus.
    Malam itu, dia sendiri tidak lagi mampu menyembunyikan kegembiraannya. Dia membawa semua anak buahnya meraikan kejayaan membina istana impiannya itu dengan dendangan irama serta tarian mengelilingi kerdipan cahaya neon jalanan. Sedikit deraian hujan tanpa sedar membasahi sepasang sayap kecilnya. Perlahan sayap itu jatuh dan menghilang dalam deruan angin malam. Ketika badan kecilnya turut jatuh ke tanah, ribuan tubuh Isoptera lain turut membujur kaku di tanah. Perlahan-lahan dia melintasi tubuh-tubuh itu. Dalam diam dia memanjatkan kesyukuran kerana berkesempatan mencipta mimpi yang akhirnya terlaksana. Seketika terlintas ingatannya kepada ibu ratu di busut lama.
    Ternyata benarlah pesan Ibu ratu dahulu. Cahaya neon itu memabukkan!
    Sebentar lagi dia akan menjadi kelekatu tua yang mungkin akan diingati oleh para penerus generasi sebagai Isoptera yang bukan lagi bermimpi.

 
 
Advertisement