Anda di sini

Sunbear 2022 tetap meriah tanpa The Red Jumpsuit Apparatus

Advertisement
 Sekitar kemerihan Festival Muzik dan Kesenian Sunbear 2022 yang diadakan di Kampung Budaya Sarawak, malam Sabtu.
MERIAH: Sekitar kemerihan Festival Muzik dan Kesenian Sunbear 2022 yang diadakan di Kampung Budaya Sarawak, malam Sabtu.

KUCHING: Festival Muzik dan Kesenian Sunbear 2022 di Kampung Budaya Sarawak (SCV) di Santubong berakhir meriah dengan kehadiran ribuan pengunjung pada malam Sabtu.

Festival yang diadakan selama dua hari pada 9 dan 10 Disember itu mendapat sambutan menggalakkan bukan sahaja daripada rakyat tempatan, malah penduduk luar.

Acara yang julung kali diadakan di Asia Tenggara itu menampilkan 43 artis tempatan dan antarabangsa yang menyajikan pelbagai genre persembahan.

Walaupun ketiadaan band yang dinanti-nantikan pengunjung iaitu The Red Jumpsuit Apparatus dari Amerika Syarikat pada saat akhir, namun pentas utama di SCV tetap dibanjiri orang ramai sehingga selesai acara.

Pengunjung termasuklah dari golongan muda mahupun tua dan ada yang datang dengan keluarga yang membawa anak kecil.

Festival selama dua hari itu menampilkan artis-artis dan band dari Thailand, Norway, Amerika Syarikat, United Kingdom, Indonesia dan ramai lagi dari seluruh Asia dan Malaysia termasuk Fur, Phum Viphurit, Reality Club, Sekumpulan Orang Gila (SOG), Ramengvrl, Danilla Riyadi dan banyak lagi.

Pengunjung juga disajikan dengan lapan aktiviti sampingan iaitu Showreel, Ruai Seni Kita, Culture City, 'Vibin Session at Sunbear, 'E-Sports Bay', Hungry Town, Yoga Bear dan Simposium Muzik.

Hujan yang turun pada hari pertama festival berkenaan tidak mematahkan semangat pengunjung untuk terus mengambil peluang berhibur dengan artis dan band kegemaran mereka.

Sebanyak 22 aksi yang menggegarkan pentas di SCV hari pertama festival tersebut yang bermula jam 10 pagi dan berakhir jam 12 malam.

Manakala pada hari kedua sebanyak 20 aksi persembahan ditampilkan yang kebanyakan bergenre rock iaitu Sekumpulan Orang Gila, Kilms, Ramengvrl, Reality Club, Fur serta Phum Viphurit yang bermula pada sebelah petang hingga 12 malam.

Terdahulu, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada sidang media menyatakan bahawa penganjuran festival ini mampu meningkatkan lagi sektor pelancongan tempatan.

"Festival Muzik dan Kesenian Sunbear di Sarawak merupakan penganjuran pertama di Asia Tenggara yang akan meningkatkan lagi sektor ekonomi dan pelancongan tempatan," katanya.

Advertisement