Anda di sini

Dato Rahman Lariwoo sedia terajui FAS

Advertisement
 

KUCHING: Presiden Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA) Dato Rahman Lariwoo (gambar) sekali lagi mengulangi hasratnya untuk menggalas tugas sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS).

Ia selepas penyandangnya, Dato Posa Majais dilaporkan bersedia melepaskan jawatan itu menerusi satu kenyataan dimuat naik dalam laman facebook rasmi Sarawak United FC baru-baru ini.

Menurut Rahman, beliau yakin dengan kemampuannya untuk membimbing persatuan itu berbekalkan pengalaman luas lebih 10 tahun dalam pengurusan persatuan sukan.

Selain itu, minatnya yang mendalam terhadap bola sepak menjadi pendorong utama beliau untuk menggalas jawatan berkenaan.

“Walaupun saya Presiden Persatuan Tinju Negeri Sarawak namun saya peminat setia sukan bola sepak.

“Malah saya juga mengikuti rapat perkembangan bola sepak negeri.

“Sudah tentu jika diberi peluang, saya bersedia memikul tanggungjawab sebagai Presiden FAS,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Rahman (63 tahun) yang juga Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) bagaimanapun menegaskan beliau memerlukan sokongan dari semua pihak khususnya kerajaan Sarawak serta ahli gabungan FAS untuk mengembalikan semula kegemilangan bola sepak Sarawak.

Nama beliau cukup dikenali dalam arena tinju tempatan mahupun negara apabila diberi peranan sebagai Pengurus Pasukan Tinju Kebangsaan yang bertanding di Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur, Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Sukan Komanwel di Gold Coast Australia pada 2018.

Di bawah kendalian Rahman, skuad tinju Sarawak berjaya merangkul dua pingat emas, dua perak dan satu gangsa pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 di Kuala Lumpur menjadikannya pencapaian terbaik skuad tinju negeri setakat ini.

Selain bergiat aktif dalam persatuan sukan, Rahman juga merupakan Presiden Persatuan Kontraktor Petroleum Sarawak (SPECA) dan turut memiliki beberapa syarikat yang menceburi bidang pembinaan, minyak & gas dan sebagainya.

Baru-baru ini, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Zohari Tun Openg telah mengarahkan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah untuk menyiasat pengurusan FAS.

Ia berikutan prestasi merudum pasukan bola sepak Sarawak pada musim ini dengan menduduki tangga kedua tercorot.

Lebih mengecewakan apabila pasukan itu tidak diberikan lesen untuk bermain di Liga Super 2023 dan jatuh ke Liga M3 pada tahun depan.
 

Advertisement