Anda di sini

Hujan tidak jejas kehangatan Sunbear Festival 2022

Advertisement

Hujan lebat pada lewat petang tidak menghampakan peminat kumpulan muzik pelbagai genre festival itu malam ini

Pengunjung makan dengan masih memakai baju hujan sementara menunggu berhentinya hujan sebelum meneruskan menonton konsert festival yang berlangsung di Sunbear Stage.
Pengunjung makan dengan masih memakai baju hujan sementara menunggu berhentinya hujan sebelum meneruskan menonton konsert festival yang berlangsung di Sunbear Stage.

"Sejujurnya, di festival ini persembahan kumpulan pemuzik begitu mengujakan dan penyusunan kumpulan juga sangat baik."

Hasya Hossain
Pengunjung

Oleh Henrietta Liza

SANTUBONG: Hujan lebat pada lewat petang di Festival Muzik dan Seni Sunbear 2022 (Sunbear Festival 2022), Kampung Budaya tidak menghampakan peminat kumpulan muzik pelbagai genre di festival itu hari ini.

Kelihatan kelibat orang ramai di medan selera Hungry Town menunggu tiba saatnya hujan reda sebelum ke konsert di Sunbear Stage bermula jam 3 petang sehingga tengah malam ini.

Sebaik hujan berhenti jam 4.51 petang, orang ramai menikmati pelbagai jenis makanan seperti nasi beriani, roti canai, sosej Jerman, burger Sunbear dan banyak lagi.

 

Hasya Hossain (gambar), 19, berkongsi kepada Utusan Borneo bahawa dia dan lima sahabat lain ke festival berkenaan kerana mahu melihat dua kumpulan pemuzik iaitu Phum Viphurit dan FUR.

"Sejujurnya, di festival ini persembahan kumpulan pemuzik begitu mengujakan dan penyusunan kumpulan juga sangat baik," katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Beliau sebelum ini mendapat tahu mengenai festival berkenaan menerusi laman sosial Instagram dan sejak sampai telah melawat ke The Pink Stage, Hungry Town dan Sunbear Stage.

 

Berkongsi minat yang sama, Irdina Shahira Irwan (gambar), 19, pada mulanya mahu menonton persembahan kumpulan pemuzik Boy Pablo dari Amerika Syarikat (AS) pada malam ini.

Bagaimanapun, salah satu anggota pemuzik itu dikhabarkan kurang sihat dan tidak hadir untuk membuat persembahan tetapi masih menyimpan hasrat untuk menonton persembahan kumpulan lain.

"Saya minat Boy Pablo sebab muzik mereka lain daripada yang lain, tapi saya dan kawan-kawan juga meminati Midnight Music yang akan membuat persembahan hari ini.

"Setakat ini, saya amat berpuas hati dengan persembahan bertenaga yang dipertontonkan oleh kumpulan muzik yang membuat persembahan di sini," ujarnya.

Kadangkala katanya, walaupun tidak mengenali kumpulan muzik yang membuat persembahan di pentas tetapi mendengar lagu yang dimainkan sudah cukup menghiburkan.

 

Sementara itu, Ameer Dawi (gambar), 27, yang juga merupakan hos bagi festival berkenaan semalam menyaksikan kerumunan orang ramai hadir dan memenuhi setiap bahagian pentas yang disedaikan di sini sejak jam 10 pagi.

"JAH adalah kumpulan pemuzik kegemaran saya," dedah penyampai radio ERA Sarawak itu.

Pinanak Sentah sedang membuat persembahan di Pink Stage.
Pinanak Sentah sedang membuat persembahan di Pink Stage.

Digelar sebagai 'Sunbear Experience' oleh penganjur festival, acara sampingan itu ditetapkan untuk menampilkan beberapa aspek tema utama festival selain mempamerkan muzik, seni, bakat, gastronomi dan budaya tempatan kepada orang ramai sebagai pengalaman sepenuhnya.

Ini juga dilakukan sebagai sebahagian daripada usaha mereka untuk memperkasakan pemain industri tempatan.

'Sunbear Experience' termasuk dalam pakej mereka iaitu Showreel, Ruai Seni Kita, Culture City, 'Vibin Session at Sunbear', E-Sports Bay, Hungry Town, Yoga Bear dan Simposium Muzik.

Ditayangkan di Amphitheatre, ‘Showreel’ daripada agensi pemasaran tempatan Spativate ialah tayangan interaktif filem pendek, dokumentari, iklan dan video muzik tempatan yang meraikan identiti dan nilai Sarawak.

Kelihatan pengunjung mulai membanjiri padang konsert di Sunbear Stage di Kampung Budaya sejurus selepas hujan berhenti jam 4.51 petang ini.
Kelihatan pengunjung mulai membanjiri padang konsert di Sunbear Stage di Kampung Budaya sejurus selepas hujan berhenti jam 4.51 petang ini.

Berlangsung di Rumah Orang Ulu, ‘Ruai Seni Kita’ diadakan sebagai sambutan seni kontemporari Sarawak dalam bentuk karya seni yang dipamerkan, bengkel artis, peminat seni kontemporari dan peniaga.

'Culture City' ialah program untuk pasaran susun atur unik Sunbear yang terdiri daripada fesyen, muzik, budaya dan pengalaman semuanya di bawah satu bumbung iaitu di Rumah Melanau.

Manakala 'Vibin Sessions at Sunbear' ialah pameran muzik elektronik yang dihoskan di Lake Pavilion yang menampilkan beberapa DJ terbaik dan terhangat di Kuching.

‘E-Sports Bay’ yang dikuasakan oleh Persatuan Esports Sarawak (SESA) adalah yang pertama seumpamanya dalam landskap festival muzik di Kuching dan akan berlangsung di Rumah Panjang Iban.

Kelihatan pengunjung mulai membanjiri padang konsert di Sunbear Stage di Kampung Budaya sejurus selepas hujan berhenti jam 4.51 petang ini.
Kelihatan pengunjung mulai membanjiri padang konsert di Sunbear Stage di Kampung Budaya sejurus selepas hujan berhenti jam 4.51 petang ini.
 

Peminat dan penggemar e-sukan akan diberi peluang untuk menjalin hubungan dengan rakan baharu dan lama semasa sesi permainan.

'Hungry Town' ialah hab gastronomi pelbagai budaya untuk penggemar makanan dan pengunjung festival yang lapar untuk memulihkan tenaga dan berehat selepas seharian berseronok sepanjang tempoh festival.

'Yoga Bear' pula adalah sesi yoga yang menyeronokkan yang dijalankan oleh Maryam Evetovics untuk membantu berhubung dengan diri sendiri dan orang lain dengan lebih baik. 

Untuk maklumat lanjut mengenai festival dan jadual program, ikuti Festival Sunbear di Facebook dan Instagram atau hubungi +6016 5768797 atau emel [email protected] untuk sebarang pertanyaan.

Borneo Post dan Utusan Borneo adalah Rakan Media Rasmi Sarawak Festival Sunbear 2022.
 

Advertisement