Anda di sini

PRU15: PN menang kerusi Padang Serai dengan majoriti 16,260 undi

Advertisement
Azman (kanan) ketika diumumkan menang pada Pilihan Raya Umum Parlimen Padang Serai malam tadi. - Gambar Bernama
Azman (kanan) ketika diumumkan menang pada Pilihan Raya Umum Parlimen Padang Serai malam tadi. - Gambar Bernama

KULIM: Calon Perikatan Nasional (PN) Datuk Azman Nasrudin memenangi kerusi Parlimen Padang Serai yang ditandinginya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kawasan itu yang berlangsung semalam.

Keputusan pilihan raya itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Padang Serai Datuk Abdul Bari Abdullah kira-kira pukul 10.55 malam di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech di sini.

Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Lunas memperoleh 51,637 undi menewaskan lima calon lain dengan majoriti 16,260 undi.

Calon PH Dr Mohamad Sofee Razak memperoleh jumlah undi kedua tertinggi iaitu 35,377 diikuti calon Barisan Nasional (BN) Datuk C Sivaraj (2,983 undi), calon Bebas Sreanandha Rao (846 undi), calon Pejuang Hamzah Abd Rahman (424 undi) dan calon Warisan Mohd Bakhri Hashim (149 undi).

Sivaraj dan Mohd Bakhri sebelum ini mengumumkan menarik diri daripada pilihan raya itu bagi memberi laluan dan menyokong calon PH Mohamad Sofee, namun berdasarkan peraturan pilihan raya nama mereka kekal pada kertas undi kerana pencalonan mereka telah disahkan.

Turut hadir menyaksikan kemenangan calon PN itu beberapa pimpinan PN termasuk Pengerusi PN Kedah yang juga Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor serta Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Sementara itu, SPR turut mengumumkan peratusan keluar mengundi selepas semua 46 pusat pengundian ditutup 6 petang tadi adalah 68.95 peratus.

Kemenangan PN di Padang Serai itu menyaksikan gabungan itu menambah bilangan kerusi Parlimen yang dimenangi pada PRU 19 Nov lepas kepada 74 kerusi di seluruh negara dan mengukuhkan kedudukannya  di Kedah dengan memiliki 14 daripada 15 kerusi Parlimen di negeri ini.

PH pula kekal 82 kerusi, BN (30), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) manakala Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing menang satu kerusi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian PRU15 bagi Parlimen Padang Serai yang sepatutnya berlangsung pada 19 Nov lepas ditangguhkan dan dilaksanakan pada hari ini berikutan  seorang calon telah disahkan iaitu M Karupaiya, 69, meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung dan komplikasi kesihatan pada 16 Nov lepas.

Pada PRU14, Karupaiya yang mewakili PH menang kerusi Parlimen itu dengan majoriti 8,813 undi menewaskan calon PAS Muhamad Sobri Osman dan calon BN Datuk Dr Leong Yong Kong. - Bernama 

Advertisement