Anda di sini

ICQS tidak dapat dilalui, wanita dari Lawas meninggal dunia dalam ambulans

Advertisement
Gambar fail
Gambar fail

MIRI: Seorang wanita warga emas dari Lawas meninggal dunia apabila ambulans yang sepatutnya menghantarnya ke Hospital Miri tidak dapat melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujuh, Miri awal pagi Selasa. 

Pastor Billy John dari gereja Borneo Evangelical Mission (BEM) di Ulu Gelugus, Lawas yang mengiringi wanita berkenaan mendakwa, tiada sesiapa di pintu pagar ketika ambulans tiba di kompleks berkenaan sekitar jam 1.30 pagi. 

“Pemandu ambulans membunyikan hon tetapi pengawal keselamatan berkata individu yang memegang kunci tiada pada masa kejadian, justeru pintu pagar tidak dapat dibuka,” katanya ketika dihubungi The Borneo Post, di sini. 

Billy berkata ibu saudaranya itu mempunyai masalah jantung. 

“Malam itu, dia mengadu sesak nafas. Saya segera menghubungi Hospital Lawas, meminta bantuan ambulans. 

“Sepanjang perjalanan dari Lawas, paramedik melakukan CPR (Resusitasi Kardiopulmonari) ke atasnya beberapa kali dan dia kelihatan baik-baik sahaja, tetapi di ICQS (Sungai Tujuh, Miri) kami terpaksa menunggu pengawal keselamatan untuk mendapatkan pembawa kunci berkenaan yang tidak muncul-muncul. 

“Pada masa itu mak cik menghembuskan nafas terakhirnya. Namun, saya merasakan kita masih perlu pergi ke Hospital (Miri). 

“Oleh itu, kami terpaksa membuka pintu pagar untuk meneruskan perjalanan kami,” katanya sambil menambah bahawa mereka mendapat bantuan daripada beberapa anggota RELA untuk memecahkan pintu pagar tersebut. 

Beliau berkata mereka kemudiannya tiba di Hospital Miri sekitar jam 3 pagi.

Billy berkata beliau akan membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit. 

Satu catatan mengenai kejadian itu tular di media sosial beserta gambar yang menunjukkan wanita itu berada di dalam ambulans. 

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kejadian terbabit, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba' Kelalan Baru Bian berkata ini sememangnya satu kejadian yang amat menyayat hati. 

“Pegawai atau orang yang membawa pulang kunci itu benar-benar tidak bertanggungjawab kerana beliau sepatutnya tahu kes kecemasan seperti ini boleh berlaku pada bila-bila masa. 

“SOP (prosedur operasi standard) yang jelas mesti ada untuk memastikan perkara ini tidak berulang. 

“Insiden ini menguatkan keperluan untuk Sabah-Sarawak Link Road (SSLR) dipercepatkan supaya sekiranya berlaku kecemasan, kita tidak tertakluk kepada budi bicara pihak ketiga,” katanya. 

Sementara itu, Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man ketika dihubungi berkata beliau sedang berusaha untuk mengesahkan kejadian terbabit dengan pihak hospital dan Jabatan Imigresen Malaysia. 

“Kami kemudiannya akan berjumpa dengan pegawai imigresen kerana saya percaya urusan sempadan terletak di bawah bidang kuasa jabatan itu. 

“Saya akan memberitahu anda semula jika terdapat sebarang maklumat terkini mengenai kejadian ini,” jelasnya. 

Advertisement