Anda di sini

Yayasan Sabah, MTIB meterai MoU perkasa rantaian bahan mentah

Advertisement
 Abidin (tengah) menyaksikan Ghulam (dua kiri) dan Kamaruzaman (dua kanan) saling bertukar dokumen MoU pada majlis itu. Turut kelihatan Hanafiah (kiri) dan Farydatul (kanan).
MOU: Abidin (tengah) menyaksikan Ghulam (dua kiri) dan Kamaruzaman (dua kanan) saling bertukar dokumen MoU pada majlis itu. Turut kelihatan Hanafiah (kiri) dan Farydatul (kanan).

KOTA KINABALU: Kumpulan Yayasan Sabah melalui Pusat Kraftangan Sabah (PKS) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) sempena Program Penanaman Bahan Mentah (2023-2026).

Pengarah Yayasan Sabah merangkap Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn. Bhd. Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar mewakili Yayasan Sabah manakala MTIB diwakili oleh Ketua Pengarah MTIB Kamaruzaman Othman.

MoU berkenaan turut disaksikan oleh Setiausaha Korporat Yayasan Sabah Hanafiah Diman dan Pengarah Pusat Pembangunan Kemahiran Industri Kayu (WISDEC) Farydatul Nazly Mohd. Zin.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir berkata, usaha yang dilaksanakan melalui MoU berkenaan bagi memastikan bekalan rantaian bahan mentah yang mampan khususnya di negeri ini.

"Program anjuran PKS di bawah Program Khas Anak Negeri Sabah (PKAN) ini akan mengurangkan permintaan terhadap hutan asli kita sebagai sumber bahan mentah.

"Pada masa sama, ia akan memastikan daya maju jangka panjang bahan mentah seperti buluh dan rotan iaitu komoditi penting dalam industri kraftangan.

“Program penanaman akan dijalankan di kawasan konsesi Yayasan Sabah dengan penglibatan masyarakat setempat,” katanya ketika berucap merasmikan majlis berkenaan di sini hari ini.

Abidin berkata, Kumpulan Yayasan Sabah menjalin hubungan kerjasama dengan agensi kerajaan seperti Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, Jabatan Pertanian Sabah dan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Cawangan Sabah), malah dengan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk menyediakan kepakaran dan khidmat nasihat strategik bernilai tinggi bagi memastikan keberkesanan program berkenaan.

Beliau berkata, MTIB juga akan menyediakan perundingan teknikal mengenai pemilihan spesis, teknik penanaman, pembajaan dan rawatan selain menjalankan kajian dan penyelidikan mengenai bahan, produk, mesin dan peralatan.

Selain itu katanya, pihak MTIB turut memberi pengiktirafan kepada peserta Perusahaan Kecil dan Sederhana Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 berdasarkan Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT).

"Limpahan sumber asli Sabah mesti digunakan secara mampan untuk menjana pendapatan dan pertumbuhan ekonomi negeri dalam sektor perindustrian.

"Justeru, program ini dijangka dapat memperkukuh pertumbuhan ekonomi, mengembangkan sektor huluan dan hiliran serta menghasilkan bahan eksport yang ketara yang mampu menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara kita,” katanya.

Dalam pada itu jelasnya, Kumpulan Yayasan Sabah akan terus mempelbagaikan usahanya untuk membangunkan inisiatif yang mampan demi memperkasakan pengusaha industri kayu tempatan.
 

  • oleh
  • Advertisement