Anda di sini

Unsur Perubatan Tradisional dalam Novel Penulis Sarawak

Advertisement
 

Oleh Frankie Latit
 

Pengenalan

Penyakit telah wujud sejak dahulu lagi. Sejarah kewujudan penyakit bukan sahaja boleh ditekuni dalam buku-buku, jurnal atau artikel perubatan, bahkan turut dapat diteliti dalam karya-karya sastera. Soal bagaimana penyakit sebagai ‘figura’ yang menakutkan populasi manusia di seluruh dunia ini diolah dan diadun bersama-sama elemen-elemen sastera adalah bergantung kepada kreativiti dan kemahiran seorang penulis.        

Susan Sontag (2021) dalam buku bertajuk Penyakit Sebagai Metafora mendapati penyakit kerap dijadikan metafora dalam karya-karya sastera. Perkara ini ditemui bermula dari hasil karya Yunani, dari abad pertengahan hingga ke karya-karya John Keats, Thomas Mann, James Joyce, Katherine Mansfield, Frank Llyod Wright dan W.H. Auden. Walau bagaimanapun, bukanlah menjadi fokus penulis untuk membicarakan karya-karya ini mahupun soal sejarah kewujudan penyakit. Tulisan ini sebaliknya akan meninjau secara ringkas penerapan unsur-unsur perubatan tradisional dalam karya penulis di Sarawak, khususnya dalam genre novel. Walau bagaimanapun, unsur-unsur perubatan tradisional dalam novel-novel tersebut tidak akan diulas secara saintifik dalam tulisan ini. Antara novel yang diteliti ialah tiga buah novel terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, iaitu Acang Merpati karya Shield Sahran (2018), Jejak Hilang yang Pulang oleh Abang Median Abang Said (2020) dan Anak Kejaman Long Segaham tulisan Dahiri Saini (2017).

Kearifan Tempatan

Kearifan tempatan berasal daripada dua perkataan Inggeris, iaitu local dan wisdom. Local bermaksud setempat, sementara wisdom pula bermaksud hikmah dan kebijaksanaan. Secara umumnya, kearifan tempatan dapat ditakrifkan dengan kepandaian tempatan yang penuh dengan hikmah, nilai-nilai baik, dipraktikkan dan diikuti oleh masyarakat (Giska, 2013: 614; Muhammad Din, 2017: 1048). Flavier (2003) pula mentakrifkan kearifan tempatan sebagai pengetahuan unik yang merujuk kepada budaya sesebuah masyarakat. Pengetahuan ini dijadikan asas kepada masyarakat dalam membuat keputusan daripada pelbagai aspek seperti pertanian, penjagaan kesihatan, pengurusan alam, sumber-sumber alam dan pelbagai aktiviti yang bersangkutan dengan masyarakat lingkungan. Kearifan tempatan muncul sebagai sebuah ilmu tradisi dan setempat yang terjana daripada amalan budaya dan adat yang tinggi yang telah lama berjalan dalam masyarakat sebagai panduan. Ia boleh terdapat dalam ilmu tradisional, kraf tangan, kebijakan setempat, sumber alam, amalan seharian, nilai-nilai murni dan juga budaya (Miranita (2017) .

Menurut Sillitoe (1998), kearifan tempatan boleh dibahagikan kepada dua jenis. Pertama adalah sesuatu yang dapat dirasa (tangible) seperti teks tradisi, rumah tradisional dan simbol-simbol budaya. Kedua adalah sesuatu yang tidak dapat dirasa (intangible) seperti petua, nasihat dan pantang larang.

Karya Sastera

Secara definisi, karya bermaksud ciptaan. Sastera pula membawa maksud bahasa yang digunakan dalam sebuah seni. Oleh itu dapat disimpulkan bahawa karya sastera ialah sebuah penulisan yang dihasilkan berdasarkan sesuatu bentuk kesenian. Sebagai contoh, karya sastera bahasa Melayu terdiri daripada prosa, iaitu hasil kesusasteraan yang ditulis dalam tatabahasa mudah seperti novel dan cerpen. Sastera bahasa Melayu juga terdiri daripada puisi yang merujuk kepada hasil kesusasteraan yang ditulis tanpa menuruti hukum tatabahasa seperti sajak, syair, pantun dan gurindam.

Rahman Shaari (2014) mengakui bahawa karya sastera ialah karya yang memuatkan nilai seni. Walaupun telah banyak kali disebutkan bahawa karya sastera diasaskan oleh bahasa, namun selalu muncul sanggahan yang mengatakan bahawa karangan tentang undang-undang, perubatan, ekonomi, politik dan lain-lain semuanya menggunakan bahasa. Oleh itu timbul pertanyaan apakah perbezaan antara bahasa dalam karya sastera dengan bahasa dalam bidang-bidang tersebut? Menurut Rahman Shaari (2014) lagi, tanpa karya sastera, bahasa sekadar alat untuk anggota masyarakat berhubung antara antara satu sama lain, dan juga bertujuan mendapatkan ilmu. Memang benar bahawa peranan yang sedemikian dapat dilaksanakan oleh bahasa tanpa karya sastera. Namun, untuk mencapai keberkesanan mesej dan pemaknaannya dalam kehidupan, karya sastera amat diperlukan atas kekuatannya yang berupaya memberikan kesan yang diharapkan oleh penutur dan penulis kepada khalayak pembaca. Sudah pasti dari aspek ini, bahasa dalam karya sastera berbeza daripada bahasa dalam bidang-bidang lain.

 

Perubatan Tradisional

Jabatan Warisan Negara mentakrifkan perubatan tradisional sebagai kaedah perubatan yang telah memberi sumbangan penting dalam penjagaan kesihatan manusia sebelum munculnya perubatan moden. Perubatan tradisional tertumpu kepada penggunaan tumbuh-tumbuhan dan herba yang memanfaatkan kepelbagaian sumber alam semula jadi peribumi. Hal ini berbeza dengan perubatan moden yang diasaskan oleh bahan-bahan kimia. Kegunaan tumbuh-tumbuhan dan herba telah menjadi amalan turun-temurun dalam kalangan bangsa seperti masyarakat Melayu, Cina, India atau Orang Asli. Penggunaan perubatan tradisional juga telah terbukti secara saintifik dan kaedah alternatif ini mempunyai banyak manfaatnya yang tersendiri. Seiring dengan perkembangan perubatan moden, perubatan tradisional kini disyorkan sebagai salah satu rawatan alternatif atau rawatan pelengkap untuk melegakan penderitaan dan meningkatkan keberkesanan perubatan moden.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia dalam Perintah Perubatan Tradisional dan Komplementari (Bidang Amalan Diiktiraf) 2017 yang diwartakan pada 28 Julai 2017 dan dikuatkuasakan bermula 1 Ogos 2017, memperakukan bahawa bidang amalan perubatan tradisional yang diiktiraf ialah Perubatan Tradisional Melayu, Perubatan Tradisional Cina, Perubatan Tradisional India, Homeopati, Kiropraktik, Osteopati dan Amalan Pengubatan Islam.

Kearifan Tempatan dan Perubatan Tradisional dalam Karya Sastera

Menurut Rahimah Abdul Hamid (2013), berakibat daripada karya sastera dianggap sebagai cerminan masyarakat, maka kearifan tempatan masyarakat Melayu sejak zaman dahulu dalam mendayagunakan alam flora dan fauna untuk mengubati penyakit turut terungkap dalam beberapa buah karya fiksyen. Perkara ini dikatakan demikian kerana telah ditemui beberapa buah karya fiksyen yang memperincikan secara tuntas tentang kaedah dan amalan perubatan daripada sumber flora dan fauna. Antara karya-karya tersebut ialah Detik-Detik Diri di Daerah Daif, Srengenge, Ranjau Sepanjang Jalan, Seorang Tua di Kaki Gunung, Hikayat Seri Kelantan, Harga Sebuah Maruah dan Sulalatus Salatin.

          Dalam konteks penghasilan karya fiksyen di Sarawak, walaupun ditemui jejak kearifan tempatan dari sudut perubatan tradisional, namun didapati ia sekadar muncul sesekali dalam karya-karya sastera penulis Sarawak. Antara karya-karya penulis Sarawak yang terkesan merakamkan unsur-unsur perubatan tradisional ialah novel Acang Merpati karya Shield Sahran, Anak Kejaman Long Segaham hasil tulisan Dahiri Saini dan Jejak Hilang Yang Pulang, buah tangan Abang Median Abang Said.

          Dalam novel Acang Merpati, Shield Sahran didapati telah memperlihatkan kearifan tempatan masyarakat setempat dalam ilmu perbidanan. Hal ini dipaparkan dengan jelas seperti berikut:

      Setibanya di rumah tersebut, Dayang melihat keluarga yang sedang duduk kebingungan sementara ada seorang wanita sedang mengaduh kesakitan. Barulah Dayang tahu bahawa Biri bukan saja pekebun yang rajin, malah seorang bidan muda yang handal.

     “Mari sini, Dayang. Saya ajarkan satu ilmu untuk Dayang.” Biri memanggil Dayang supaya duduk di sebelahnya.

     Pada masa itulah, Dayang menyaksikan kehebatan Biri sebagai bidan muda. Wanita yang mengaduh sakit pun dengan mudahnya melahirkan anak, berkat pertolongan Biri. Dan mulai hari itulah, Dayang mula mempelajari ilmu baharu yang akhirnya menjadi pekerjaan utamanya di masa hadapan.

          Tidak cukup dengan itu, Shield Sahran sekali lagi menyentuh ilmu perbidanan masyarakat Melayu yang diwarisi turun-temurun secara sepintas lalu seperti berikut:

            Sementara itu, Bidan Sepiah duduk di hadapan kaki Datuk Permaisuri. Kain batik terus dilayangkan ke perut dan kaki wanita muda itu. Kemudian, kaki Datuk Permaisuri dijarakkan untuk memudahkan kerja membidan. Pada masa itu, ingatan lama menderu lagi di minda Bidan Sepiah. Bidan Sepiah cukup berterima kasih pada sahabat lamanya, Biri yang telah mengajarnya ilmu membidan. Untuk sekali lagi, dia berpeluang untuk membantu si ibu yang sedang berjuang. Tapi, untuk kali ini juga, kerja Bidan Sepiah sangat luar biasa berbanding sebelumnya.

     “Tarik nafasmu, Suri. Masa kau sudah tiba. Aku membidani kau sekarang. Bacalah doa. Mudah-mudahan, urusan kita dipermudahkan.” Bidan Sepiah memulakan bicara.

          Dalam novel Jejak Hilang Yang Pulang, Abang Median Abang Said (2020) telah memaparkan penggunaan sumber alam dalam rawatan berserta kaedah urutan untuk masalah terseliuh dan tersalah urat yang dialami oleh watak Qaem sewaktu menentap di rumah Pak Ayed. Perhatikan petikan berikut:

         Bahagian lengan dan bahu Qaem masih ngilu dan sakit. Nasib baik hanya terseliuh dan tersalah urat. Pak Ayed yang mengurut Qaem. Selepas diurut, bahagian yang terasa sakit akibat terseliuh itu dilumur dengan daun sireh yang berfungsi untuk merangsang urat saraf, menyegar otot-otot dan sendi-sendi. Menurut Pak Ayed, sireh juga berfungsi sebagai pencegah lendir dalam sistem badan dan melancarkan peredaran darah.

          Sementara itu, dalam novel Anak Kejaman Long Segaham (2017), Dahiri Saini membentangkan kearifan tempatan orang Kejaman di Long Segaham dalam merawat luka. Tidak cukup dengan itu, turut diperincikan cara-cara berkesan untuk menghentikan pendarahan di telapak tangan akibat serangan binatang buas. Berikut adalah petikannya:

     “Nasib akau masih ada lagi akar kayu tokan ni,” kata Dazung Sihan lalu menghampiri tubuh Tutuh. Dia kemudian menumbuk anak kayu tersebut dan memasukkan sedikit air lalu dicurahkan ke telapak tangan tutuh yang terkoyak antara jari telunjuk dan ibu jarinya. Kening Dazung Sihan berkerut apabila dia melihat koyakaan telapak tangan Tutuh yang dirawatnya.

     Sebaik saja resapan air kayu tokan tersebut dituang pada koyakan luka, Tutuh menggeleng kepalanya. Herotan wajahnya begitu memeritkan. Selepas itu, Tutuh longlai. Darah sudah tidak mengucur lagi dari tempat luka di tangannya. Edas dan Tip saling berpandangan.

          Bukan setakat itu sahaja, Dahiri Saini (2017) turut menyakinkan bahawa kearifan tempatan berkenaan perubatan tradisional orang Kejaman pun boleh digunakan untuk merawat bisa serangan taring binatang buas. Cuba teliti petikan berikut:

     “Tak mengapa, pagi nanti sedarlah Tutuh tu. Akar kayu tokan ni memang berkesan merawat bisa jani tu,” ulang Dazung Sihan. Dia mengurut janggut yang berjuntai putih di dagunya.

          Melalui penelitian di atas, didapati unsur-unsur perubatan tradisional memang wujud dalam novel penulis Sarawak. Dua daripada novel yang diteliti bahkan turut mengangkat unsur-unsur perubatan tradisional yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Sebaliknya, unsur perubatan tradisional yang diketengahkan dalam novel Anak kejaman Long Segaham tidak berdaftar di bawah Majlis Perubatan Tradisional dan Komplementari oleh pengamal Perubatan Tradisional dan Komplementari.

Penutup

Antara ciri kearifan tempatan menurut Bates dalam Muhammad Yusri Yusof (2020) adalah bersifat praktikal dan dinamik yang diambil daripada pengalaman masyarakat terdahulu. Ia boleh berubah-ubah seiring dengan perubahan masyarakat. Seksyen 21 Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 [Akta 775] memperakukan bahawa ada kemungkinan bidang amalan perubatan lain akan diiktiraf pada masa hadapan. Oleh yang demikian, saranan untuk memasukkan unsur perubatan tradisional dalam karya sastera perlu dilihat sebagai batu loncatan kepada para penulis Sarawak untuk mengetengahkan kearifan tempatan ke peringkat lebih tinggi lagi.

Biarpun diketahui buat masa ini bahawa pengamal perubatan tradisional hanya boleh mengamalkan bidang amalan yang diiktiraf sahaja, namun, penguatkuasaan akta ini akan dijalankan secara berfasa. Sehingga akta dikuatkuasakan sepenuhnya, pengamal Perubatan Tradisional dan Komplementari yang mengamalkan bidang amalan selain daripada bidang amalan yang diiktiraf, masih boleh mengamalkan bidang amalan tersebut secara bertanggungjawab dan beretika serta memastikan keselamatan pesakit sentiasa terjamin.

Pada awal penulisan ini telah dinyatakan bahawa tulisan ini hanya meninjau kehadiran unsur-unsur perubatan tradisional dalam karya-karya penulis Sarawak. Dalam erti kata lain, tujuannya bukan untuk membuktikan atau menguji keberkesanan unsur-unsur perubatan tradisional tersebut secara saintifik. Sungguhpun demikian, ia tidak bermakna unsur perubatan tradisional yang berkait dengan kearifan tempatan ini harus dipandang sebelah mata daripada dimasukkan dalam karya sastera penulis Sarawak pada masa kini dan akan datang. Sebaliknya, unsur-unsur perubatan tradisional tersebut sebolehnya dan seharusnya diangkat dan dijadikan tema atau unsur olahan kreatif oleh penulis Sarawak secara berterusan.

 
 
Advertisement