Anda di sini

Kabinet Perpaduan berteraskan asas kukuh, bina semula negara: Pakar Perlembagaan

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Pembentukan Kabinet Kerajaan Perpaduan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat tepat dan bersesuaian berteraskan asas yang kukuh dalam membina semula negara.

Pakar Perlembagaan Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata pemilihan menteri-menteri adalah berdasarkan hieraki dalam parti, pengalaman dan kepakaran masing-masing.

“Di peringkat pertama Anwar telah melakukan langkah yang betul dengan membenarkan parti yang menyertai Kerajaan Perpaduan ini untuk menamakan calon mereka sendiri.

“Adakah wajar sekiranya apabila beliau membentuk Kerajaan Perpaduan, (beliau) tidak menyerahkan budi bicara (mereka) yang menganggotainya? Perkara ini adalah pendekatan yang boleh mengelakkan “politicking dalam parti,” katanya dalam program Ruang Bicara yang disiarkan Bernama TV malam tadi.

Wan Ahmad berkata sekiranya Anwar memilih mana-mana calon tanpa melihat hieraki dalam parti berkenaan, sudah pasti akan mengakibatkan berlakunya pergolakan dalam parti itu.

“Di manakah konsep kesetiaan kepada pimpinan parti. Oleh itu pemilihan dibuat untuk mengukuhkan kestabilan, dan saya melihat pendekatan ini lebih menghormati kepada hieraki dalam parti berkaitan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) Datuk Dr AT Kumararajah berkata pemilihan ahli Kabinet Kerajaan Perpaduan itu adalah kerana mereka mampu membawa kestabilan kepada ekonomi.

“Saya pasti ramai yang mahu melihat Perdana Menteri kita mengemudi negara ini dengan pengalaman dan kepakarannya apabila melihat portfolio beliau yang pernah menjadi Menteri Kewangan dahulu.

“Pelantikan beliau sebagai Menteri Kewangan diharap dapat memberi kesan kepada pasaran domestik dan pelaburan. Ini kerana cabaran ekonomi pada tahun 2023 adalah tinggi dan perlukan pengalaman beliau sekurang-kurangnya untuk dua tahun. Pembentangan bajet juga memerlukan seseorang yang berpengalaman bagi mengimbangi semua pemegang taruh,” katanya. - BERNAMA
 

Advertisement