Anda di sini

Surat ‘mencurigakan’ ditemui di pangkalan tentera Sepanyol

Advertisement

Sehari selepas surat bom meletup di kedutaan Ukraine di Madrid

Polis tentera berkawal di pintu masuk utama ke pangkalan tentera udara Sepanyol kelmarin selepas pasukan keselamatan menemui bungkusan ‘mencurigakan’, sehari selepas surat bom meletup di kedutaan Ukraine di Madrid. — Gambar AFP
Polis tentera berkawal di pintu masuk utama ke pangkalan tentera udara Sepanyol kelmarin selepas pasukan keselamatan menemui bungkusan ‘mencurigakan’, sehari selepas surat bom meletup di kedutaan Ukraine di Madrid. — Gambar AFP

MADRID: Pasukan keselamatan Sepanyol menemui satu bungkusan “mencurigakan” di pangkalan tentera udara berhampiran Madrid, kata kementerian dalam negeri kelmarin, sehari selepas surat bom meletup di kedutaan Ukraine di ibu kota Sepanyol.

Kakitangan keselamatan mengesan sampul mencurigakan yang mungkin mengandungi sejenis mekanisme di pangkalan Torrejon de Ardoz di luar Madrid di antara jam 3 pagi dan 4 pagi waktu tempatan, tambahnya dalam satu kenyataan.

Polis telah dipanggil ke pangkalan tersebut untuk mengawasi kawasan dan penyiasat sedang menganalisa sampul ini yang dialamatkan ke pusat satelit di pangkalan berkenaan, jelasnya.

Pangkalan itu sering digunakan untuk menghantar senjata yang disumbangkan oleh Sepanyol ke Ukraine, termasuk bagi perjalanan dengan pesawat rasmi oleh pegawai kanan kerajaan.

Pada Rabu lepas pegawai keselamatan di kedutaan Ukraine di Madrid mengalami kecederaan ringan pada tangannya akibat letupan surat bom yang dialamatkan kepada duta Ukraine, mendesak Kiev untuk mempertingkatkan kawalan keselamatan di kedutaannya di seluruh negara.

Pada lewat petang itu, penghantaran bungkusan kedua yang mencurigakan telah dihalang di ibu pejabat firma peralatan ketenteraan Instalaza di bandar timur laut Zaragoza, kata kementerian dalam negeri.

Pakar mengeluarkan “bahan letupan terkawal” di dalam barang yang diposkan itu.

Instalaza menghasilkan pelancar roket yang disumbangkan oleh Sepanyol kepada Ukraine. — AFP
 

Advertisement