Anda di sini

Taliban Pakistan mengaku bertanggungjawab pengebom nekad ragut empat nyawa, 27 cedera 

Advertisement
Pegawai pasukan keselamatan memeriksa rangka kereta yang rentung selepas serangan bom nekad yang menyasarkan trak polis di Quetta, kelmarin. — Gambar AFP
Pegawai pasukan keselamatan memeriksa rangka kereta yang rentung selepas serangan bom nekad yang menyasarkan trak polis di Quetta, kelmarin. — Gambar AFP

QUETTA: Empat orang terbunuh dan 27 cedera dalam satu serangan kelmarin apabila seorang pengebom nekad menyasarkan trak polis di barat Pakistan, serangan yang diakui oleh Taliban tempatan.

Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP), berasingan daripada Taliban Afghanistan tetapi berkongsi ideologi Islam tegar yang sama, awal minggu ini melanggar gencatan senjata yang dipersetujui dengan Islamabad dan mengarahkan pejuangnya untuk meneruskan serangan di seluruh negara.

Pegawai kanan polis, Azhar Mehesar memberitahu AFP bahawa letupan kelmarin menyasarkan pasukan keselamatan dalam trak yang bersiap sedia untuk mengiringi penerima vaksin polio di bandar Quetta.

Jurucakap jabatan kesihatan wilayah, Wasim Baig berkata bahawa seorang anggota polis, seorang wanita warga awam dan dua kanak-kanak terbunuh.

“Mangsa yang cedera termasuk 21 anggota polis dan dua kanak-kanak,” katanya.

Dalam satu kenyataan, TTP berkata seorang “pejuang jihad” telah meletupkan bom kereta berhampiran pos kastam untuk membalas dendam ke atas pembunuhan anggota pengasasnya, Umar Khalid Khurasani semasa gencatan senjata.

“Operasi balas dendam kami akan diteruskan,” tambah kenyataan itu. 

Letupan itu menyebabkan trak polis tersebut tumbang di tepi jalan. — AFP
 

Advertisement