Anda di sini

Rentap, Razi dilantik sebagai Timbalan Pengerusi BDDA

Advertisement
Uggah (tiga kiri) menyampaikan dokumen watikah pelantikan kepada Razaili Gapur (tiga kanan) sebagai pengerusi jawatankuasa kecil bangunan dan pembangunan usahawan.
Uggah (tiga kiri) menyampaikan dokumen watikah pelantikan kepada Razaili Gapur (tiga kanan) sebagai pengerusi jawatankuasa kecil bangunan dan pembangunan usahawan.

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar dan Saribas Dato Gerald Rentap Jabu dan Mohammad Razi Sitam masing-masing dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).

Menurut kenyataan BDDA hari ini, Rentap dan Razi telah menerima watikah pelantikan masing-masing daripada Pengerusi BDDA Datuk Amar Douglas Uggah pada mesyuarat di sini hari ini.

Uggah yang mempengerusikan mesyuarat itu turut mengumumkan penubuhan beberapa jawatankuasa kecil bagi memperkukuh agensi itu dalam melaksanakan pelbagai rancangan dan program pembangunannya.

Rentap telah ditugaskan untuk menjaga jawatankuasa kecil pembangunan infrastruktur, manakala Mohd Razi akan mengendalikan jawatankuasa kecil sosial.

ADUN Kabong Mohd Chee Kadir pula akan menjaga pelancongan, ADUN Beting Maro Razaili Gapur (bangunan dan pembangunan usahawan), ADUN Krian Friday Belik (pertanian), manakala ADUN Kalaka Mohamad Duri (utiliti) dan ADUN Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor (wanita).

Ahli Parlimen Betong yang baru dipilih Dr Richard Rapu, Ketua Pegawai Eksekutif BDDA Abang Muhammad Turkey dan Residen Betong Richard Micheal Abunawas turut menghadiri mesyuarat itu.
 

Advertisement