Anda di sini

Pinjaman mudah, kadar faedah rendah menerusi SKMS, SPIKS terus disediakan

Advertisement
 

KUCHING: Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan akan terus menyediakan pinjaman mudah pada kadar faedah rendah menerusi Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS) dan Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS). 

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, setakat ini sejumlah RM76.06 juta telah diagihkan dengan 1,965 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendapat manfaat. 

Ini termasuk 437 usahawan B40 yang menikmati pinjaman tanpa faedah sehingga maksimum RM10,000 bagi setiap pemohon dengan jumlah pinjaman diluluskan berjumlah RM2.8 juta. 

“Semasa pandemik COVID-19, Kerajaan Sarawak telah menyediakan subsidi faedah untuk tiga tahun setengah kepada PKS yang layak di bawah SKMS dan SPIKS berjumlah RM6.48 juta yang memberi manfaat kepada 1,387 PKS. 

“Selain subsidi faedah, Kerajaan Sarawak juga menyediakan moratorium selama 12 bulan kepada 636 peminjam SPIKS dan SKMS bernilai RM14.36 juta,” katanya dalam ucapan penggulungan bagi Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini semalam. 

Tambah Awang Tengah yang juga menteri bagi kementerian tersebut, kerajaan persekutuan juga menyediakan pinjaman mudah di bawah pakej PENJANA menerusi Special Relief Fund (SRF), Targeted Relief & Recovery Facility (TRRF) dan Dana Pelancongan PENJANA (PTF) kepada 4,830 PKS di Sarawak dengan pinjaman berjumlah RM1.5 bilion. 

Bagi mengurangkan beban kewangan PKS Sarawak semasa pandemik, Kerajaan Sarawak memutuskan untuk menyediakan skim subsidi faedah bagi tiga tahun setengah kepada mereka yang layak di bawah SRF, TRRF dan PTF. 

Skim subsidi ini berjumlah RM77 juta telah memberi manfaat kepada 3,345 PKS. 

Manakala PKS di bawah SRF dan TRRF juga menikmati moratorium enam bulan berjumlah RM15.2 juta sementara mereka di bawah PTF menikmati moratorium 12 bulan berjumlah RM37,850. 

“Sarawak adalah satu-satunya negeri di Malaysia yang menawarkan subsidi kadar faedah bagi PKS yang layak untuk mengurangkan beban kewangan mereka semasa pandemik COVID-19. 

“Inilah keistimewaan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah pimpinan Premier Sarawak,” katanya. 
 

  • oleh
  • Advertisement