Anda di sini

Penganggur didenda RM2,000 kerana miliki 107.2 gram nospan

Advertisement
Dalie (kanan) ditemani jurubahasa mahkamah selepas prosidingnya di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Dalie (kanan) ditemani jurubahasa mahkamah selepas prosidingnya di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

KUCHING: Seorang penganggur didenda RM2,000 atau penjara tiga bulan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana memiliki 107.2 gram dextromethorphan, juga dikenali sebagai nospan pada September tahun ini.

Hakim Afidah Abdul Rahman menjatuhkan hukuman itu terhadap Dalie Sindu, 51, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 9(1) Akta Racun 1952, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 32(2) Akta yang sama.

Dakwaan itu membawa hukuman denda sehingga RM3,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun, atau kedua-duanya sekali.

Dalie yang berasal dari Kampung Semariang Jaya melakukan kesalahan itu di kawasan di bawah Jambatan Masja, Jalan Astana di sini sekitar jam 3.30 petang pada 15 September 2022.

Mengikut fakta kes, polis menahan Dalie kerana disyaki mempunyai aktiviti berkaitan dadah pada hari kejadian.

Terdahulu, Dalie merayu hukuman ringan manakala DPP Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff memohon hukuman pencegahan terhadapnya atas alasan kes berat, berleluasa dan keseriusan kesalahan.

Dalie tidak diwakili peguam.
 

Advertisement