Anda di sini

Lima menteri penuh dari Sarawak

Advertisement

Fadillah dilantik sebagai TPM dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan diumumkan PM Anwar malam ini

 Anwar menunjukkan senarai pembentukan barisan Kabinet pada sidang media Pengumuman Kabinet Kerajaan Perpaduan di Bangunan Perdana Putra, malam tadi. - Gambar Bernama
INI DIA: Anwar menunjukkan senarai pembentukan barisan Kabinet pada sidang media Pengumuman Kabinet Kerajaan Perpaduan di Bangunan Perdana Putra, malam tadi. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelantikan dua Timbalan Perdana Menteri serta 27 Jemaah Menteri yang menganggotai Kabinet Kerajaan Perpaduan, malam ini.

Daripada jumlah tersebut, lima Ahli Parlimen Sarawak dilantik sebagai menteri penuh, diketuai Dato Sri Fadillah Yusof selaku Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perladangan dan Komoditi.

Empat lagi menteri penuh dari Sarawak ialah Dato Sri Alexander Nanta Linggi selaku Menteri Kerja Raya, Dato Sri Nancy Shukri (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), Datuk Seri Tiong King Sing (Menteri Pelancongan) dan Datuk Aaron Ago Dagang (Menteri Perpaduan Negara).

Selain Fadillah, Anwar turut mengumumkan seorang lagi Timbalan Perdana Menteri iaitu Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang turut memegang portfolio Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Anwar, 75, turut memegang portfolio Menteri Kewangan.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dilantik sebagai Menteri Pengangkutan, Presiden AMANAH Mohamad Sabu (Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan), Mohd Rafizi Ramli (Menteri Ekonomi), Nga Kor Ming (Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan), Datuk Seri Mohamad Hasan (Menteri Pertahanan) dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Menteri Dalam Negeri).

Satu kejutan dalam senarai Jemaah Menteri tersebut ialah pelantikan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz selaku Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Menteri-menteri lain ialah Datuk Seri Khaled Nordin (Pendidikan Tinggi), Chang Lih Kang (Sains dan Teknologi), Datuk Seri Salahuddin Ayub (Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup), Datuk Seri Azalina Othman Said (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Nik Nazmi Nik Ahmad (Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim), Datuk Ewon Benedict (Pembangunan Usahawan dan Koperasi), Datuk Seri Zambry Abdul Kadir (Luar Negeri), Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (Komunikasi Digital), Fadhlina Sidek (Pendidikan), Datuk Mohd Na'im Mokhtar (Agama), Hannah Yeoh (Belia dan Sukan), Sivakumar Varatharaju Naidu (Sumber Manusia), Dr Zaliha Mustafa (Kesihatan) dan Datuk Armizan Mohd Ali (Menteri di Jabatan Perdana Menteri - Sabah dan Sarawak).

Pengumuman barisan kabinet di Putrajaya pada kira-kira 8.20 malam itu disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen serta platform media sosial dan turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 24 November lepas.
 

Advertisement