Anda di sini

Kerajaan persekutuan baharu diharap terus prihatin OKU

Advertisement
 

KUCHING: Orang kelainan upaya (OKU) berharap kerajaan persekutuan yang baharu akan terus prihatin dengan kebajikan dan keperluan golongan itu.

Pengerusi Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia Cawangan Sarawak Isak Ngau (gambar) berkata, dengan adanya kerajaan baharu di peringkat persekutuan, ia diharap dapat memberi makna kepada golongan OKU, khasnya pada Hari OKU yang disambut esok.

"Saya percaya sambutan pada kali ini memberi kita sesuatu yang bermakna dengan adanya kerajaan baharu.

"Kami berharap kerajaan baharu di peringkat persekutuan akan menjadi kerajaan yang prihatin kepada OKU secara keseluruhan," katanya kepada Utusan Borneo di sini hari ini sempena sempena Sambutan Hari OKU 2022.

Menurut Isak, dengan fasa peralihan ke endemik COVID-19, diharapkan perniagaan dalan kalangan OKU akan terus maju dan OKU di pedalaman yang masih belum mendapat pendedahan tidak ketinggalan meraih manfaat daripada kerajaan.

Katanya, OKU di pedalaman seharusnya bersama menikmati arus pembangunan negara dan tidak ketinggalan.

Di Sarawak kata beliau, tidak dinafikan usaha Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti amat baik setakat ini dan prihatin terhadap OKU di Sarawak.

"Pada masa yang sama, saya berharap usaha mereka dapat dipertingkatkan lagi pada masa akan datang dan banyak lagi yang harus mereka lakukan untuk OKU Sarawak agar golongan ini terus mendapat kehidupan lebih baik pada masa akan datang.

"Antara yang kami masih mohon ialah peluang satu peratus dalam pekerjaan dalam sektor awam, di mana ia sudah dilaksanakan di peringkat persekutuan, jadi kita berharap ia dapat dilaksanakan di Sarawak dengan memberi peluang pekerjaan dalam sektor kerajaan kerana pekerjaan itu sangat perlu bagi golongan OKU," katanya.

Katanya, ramai dalam kalangan OKU penglihatan khasnya mempunyai kelayakan akademik seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), malah ada graduan universiti, justeru mereka ini perlu diberi peluang pekerjaan dalam sektor berkenaan.

Selain itu katanya, persatuan juga berharap pengangkutan mesra OKU terus ditambah baik kerana kebanyakan pengangkutan awam di Sarawak masih tidak mesra golongan itu.

"Bukan sahaja dari segi kemudahannya, tetapi kakitangan atau pemandu pengangkutan awam perlu diberi pendedahan tentang istilah mesra OKU," tegasnya.

Sama seperti sebelum ini kata Isak, persatuan sekali lagi menggesa kepada kerajaan untuk menyediakan geran khas atau skim khas kepada OKU yang mahu membeli rumah di mana-mana projek perumahan negeri.

Katanya, skim atau geran khas itu membolehkan mereka memiliki rumah sama seperti golongan lain termasuk skim belia yang disediakan kerajaan negeri.

"Bagi OKU yang masih dalam pendidikan atau masih bersekolah, mereka kadang kala memerlukan alat bantun sokongan seperti rabun atau kurang penglihatan di mana mereka memerlukan alat untuk memudahkan mereka membaca.

"Namun alat ini begitu mahal jika ditempah dari luar negara, dan kami berharap kerajaan Sarawak khasnya mengambil kira menyediakan bantuan alat sokongan kepada OKU yang masih di alam persekolahan sama ada sekolah rendah, menengah atau universiti," ujarnya.

Isak berkata, persatuan turut berharap penambahbaikan geran keusahawan yang perlu ditambah dari segi jumlah peruntukannya.

Katanya, di bawah JKM sebanyak RM5,000 diperuntukkan khas sebagai geran keusahawan kepada OKU.

"Kita berharap jumlah bantuan dinaikkan kepada RM10,000 yang dibahagikan kepada dua iaitu satu untuk pembelian alatan perniagaan dan satu lagi pecahan peruntukan untuk pusingan modal kepada usahawan OKU kita," katanya.

Beliau berkata, ia bagi membolehkan OKU berdaya saing dengan usahawan biasa yang lain dalam menjana ekonomi mereka.
 

  • oleh
  • Advertisement