Anda di sini

Kanak-kanak masih tunggu dokumen diri harus dibenar bersekolah: Abun

Advertisement
 

KUCHING: Kanak-kanak warganegara tanpa dokumen di negeri ini wajar dibenarkan bersekolah sementara menunggu urusan dokumen diri diselesaikan.

Ketua Penerangan PKR Sarawak Abun Sui Anyit berkata, ia susulan ada antara ibu atau bapa kanak-kanak ini yang merupakan warganegara.

Menurutnya, berikutan ketiadaan dokumen diri, kanak-kanak ini disisihkan daripada mendapatkan pendidikan di sekolah kerajaan. 

“Anak-anak yang dibuang sekolah ini tidak bersalah, justeru mereka harus ditolong dengan membuat dokumen diri untuk mereka,” ujarnya menerusi kenyataan hari ini.

Abun mendakwa, beliau telah dihubungi oleh insan bertanggungjawab hari ini yang memberitahu bahawa terdapat 30 anak-anak tanpa dokumen diri dari Long Singut, Baleh, Hulu Rajang telah disingkirkan dari sekolah kerajaan.

“Kanak-kanak ini berusia antara enam dan 12 tahun. 

“Setelah mereka dibuang dari sekolah kerajaan tertentu, mereka diajar oleh insan sukarelawan yang suci hati mengajar anak-anak ini secara sukarela mengikut umur dan kelas yang sepatutnya,” katanya.

Justeru menurutnya, dengan adanya kerajaan baharu dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau berharap Menteri Pendidikan yang baharu nanti akan menyelesaikan masalah ini, bukan sahaja di Hulu Rajang tetapi di seluruh Sarawak.
 

Advertisement