Anda di sini

Hackathon Race2Decarbonis Petronas percepatkan matlamat pelepasan Karbon Sifar bersih

Advertisement
Gambar hiasan Bernama
Gambar hiasan Bernama

KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) melancarkan hackathon Race2Decarbonise, iaitu platform global untuk penyelesaian penyahkarbonan yang bersumberkan orang ramai bagi mempercepatkan matlamat ‘Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang 2050’, dengan memanfaatkan kerjasama awam-swasta dan perkongsian merentas industri.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat tenaga itu berkata hackathon Race2Decarbonise menjemput individu dan organisasi di seluruh dunia untuk mengemukakan idea yang boleh menyampaikan hasil pengurangan pelepasan dalam tempoh dua tahun bagi bidang pembakaran pegun, penyalaan api dan pengudaraan, serta pelepasan wap atau gas secara tidak sengaja yang berkaitan dengan operasinya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik berkata, syarikat itu membangunkan platform tersebut untuk memberi peluang kepada individu dan organisasi menunjukkan idea mereka dan membangunkan penyelesaian yang menentukan masa depan serta pencetus perubahan bagi mencapai cita-cita pelepasan sifar bersih pada masa depan.

“Penyelesaian yang berpotensi daripada hackathon ini juga mewujudkan kaedah tambahan yang berkesan untuk mengembangkan inovasi kami, mempelbagaikan kepakaran kami dan mengumpulkan idea terbaik bagi menangani isu mengurangkan pelepasan karbon dengan segera,” katanya.

Petronas berkata, lebih 30 penyertaan telah diterima sejak pelancarannya pada 11 Nov.

Peserta yang disenarai pendek akan dijemput untuk menghadiri minggu hackathon di Kuala Lumpur pada Mac 2023 dan berpeluang memenangi hadiah wang tunai berjumlah US$660,000 (US$1=RM4.38).

“Juara Race2Decarbonise akan diberi ganjaran hadiah utama US$150,000, serta akses untuk mendapat bimbingan daripada pakar industri dan peluang mematangkan teknologi mereka dengan Petronas,” katanya.

Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut atau mengambil bahagian boleh melayari www.race2decarbonise.petronas.com. - BERNAMA
 

Advertisement