Anda di sini

Empat warga Indonesia dipenjara kerana seksa dua ‘hamba’ di ladang kelapa sawit 

Advertisement
Dua daripada empat warga Indonesia (muncul di kaca televisyen, bawah kiri), salah seorang daripadanya anak ahli politik tempatan, mendengar keputusan hakim semasa perbicaraan di mahkamah Sumatera Utara kelmarin. — Gambar AFP
Dua daripada empat warga Indonesia (muncul di kaca televisyen, bawah kiri), salah seorang daripadanya anak ahli politik tempatan, mendengar keputusan hakim semasa perbicaraan di mahkamah Sumatera Utara kelmarin. — Gambar AFP

MEDAN: Empat warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara 19 bulan kelmarin selepas didapati bersalah menyeksa sehingga menyebabkan kematian dua individu yang diperdagangkan untuk bekerja di sebuah ladang kelapa sawit yang merupakan pembekal untuk jenama global.

Mangsa mati akibat kecederaan di dalam dua sangkar yang berada di hartanah seorang ahli politik tempatan di wilayah Sumatera Utara Indonesia, dalam kes perhambaan moden terbaru di negara itu.

Kumpulan hak asasi berkata industri utama Indonesia seperti minyak sawit dan perikanan dipenuhi dengan buruh paksa atau eksploitasi pekerja.

“Defendan didapati bersalah melalukan penyeksaan, yang dilakukan bersama-sama, yang menyebabkan kematian orang lain,” kata hakim Halida Rahardini di mahkamah Sumatera Utara kelmarin.

Salah seorang defendan, anak kepada ahli politik tempatan, juga diperintah membayar pampasan sebanyak 265 juta rupiah (RM75,510) kepada keluarga mangsa.

Pendakwa raya memohon hukuman penjara tiga tahun bagi setiap defendan.

Ladang kelapa sawit di mana mangsa yang dikurung di dalam sangkar itu telah dipaksa bekerja, merupakan pembekal untuk syarikat barangan pengguna utama seperti Nestle dan Unilever, menurut kumpulan penyiasatan alam sekitar The Gecko Project.

Unilever menggantung hubungannya dengan ladang itu selepas berhadapan dengan dakwaan itu sementara Nestle berkata ia sedang menyiasat, kata kumpulan itu.

Butiran ngeri kes ini dan penggunaan hamba moden untuk syarikat PT Dewa Rencana Perangin Angin telah memberi sorotan tentang pemerdagangan manusia di Indonesia.

Sangkar demikian, yang ditemui ketika pihak polis menjalankan serbuan berkaitan rasuah pada Januari, sedang menyimpan 57 orang, kebanyakannya penagih dadah, lelaki dan miskin, kata suruhanjaya hak asasi manusia negara itu dalam satu laporan pada Mac.

Kemudahan tersebut digunakan sebagai pusat pemulihan dadah haram untuk mengumpan warga Indonesia yang boleh digunakan untuk bekerja di ladang itu.

Pada tahun 2015, beratus-ratus nelayan asing ditemui ditahan di pulau terpencil Benjina di Indonesia di mana mereka dipaksa bekerja dalam keadaan penderaan tanpa gaji. — AFP 
 

Advertisement