Anda di sini

Dua maut, 50 hilang tanah runtuh di lebuh raya Brazil

Advertisement

Aliran lumpur mengalir deras menuruni lereng bukit yang curam selepas hujan lebat turun selama berhari-hari

Gambar serahan Jabatan Bomba Santa Catarina menunjukkan tanah runtuh memutuskan sebahagian lebuh raya di bandar Guaratuba di negeri Parana kelmarin. — Gambar AFP
Gambar serahan Jabatan Bomba Santa Catarina menunjukkan tanah runtuh memutuskan sebahagian lebuh raya di bandar Guaratuba di negeri Parana kelmarin. — Gambar AFP

RIO DE JANEIRO: Sekurang-kurangnya dua orang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi hilang selepas tanah runtuh memutuskan sebahagian lebuh raya di selatan Brazil, turut membawa kira-kira 20 kereta dan trak, kata pihak berkuasa kelmarin.

Aliran lumpur mengalir deras menuruni lereng bukit yang curam selepas hujan lebat turun selama berhari-hari di negeri Parana, menimbus lebuh raya BR 367, kata pegawai.

“Sukar untuk mengetahui jumlah sebenar mangsa. Sebuah kenderaan boleh memuatkan satu hingga lima orang di dalam. Kami sedang berusaha dengan anggaran 30 hingga 50 orang hilang,” kata ketua respons kecemasan tempatan Manoel Vasco pada sidang akhbar.

Imej udara oleh pasukan kecemasan menunjukkan kesan lumpur besar yang menghanyutkan semua objek dalam laluannya – termasuk seketul lebuh raya dan kenderaan di atasnya.

Pekerja penyelamat berkata cuaca buruk dan lokasi terpencil menyukarkan usaha mencari.

Mereka menggunakan dron dengan kamera pengesan haba dengan harapan mencari mangsa yang terselamat.

“Lima puluh empat anggota bomba telah bekerja tanpa henti selama lebih 35 jam,” kata pihak berkuasa keselamatan negeri Parana dalam satu kenyataan kelmarin, sambil menyuarakan kebimbangan mengenai tanah runtuh susulan.

Setakat ini, dua mayat dan enam mangsa terselamat, termasuk datuk bandar di bandar pantai Guaratuba yang terletak berhampiran,  telah ditemui.

“Ia amat mengerikan. Gunung itu jatuh menimpa kami. Ia menghanyutkan setiap kereta. Kami hanya hidup dengan rahmat Tuhan,” kata datuk bandar, Roberto Justus, dalam video yang disiarkan di media sosial.

Brazil kerap dilanda kejadian tanah runtuh yang membawa maut.

Perkhidmatan cuaca nasional Brazil, INMET, telah mengeluarkan amaran hujan lebat di beberapa negeri.

Sekurang-kurangnya seorang lagi maut kelmarin selepas sebahagian jalan raya dihanyutkan di negeri Segipe, membawa bersama kereta mangsa, lapor media Brazil.

Pada Februari, lebih 200 orang terbunuh dalam satu siri kejadian tanah runtuh di bandar pelancongan Petropolis. — AFP 
 

Advertisement