Anda di sini

Barisan Kabinet hampir dimuktamadkan, PM menghadap Agong pagi ini

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perbincangan mengenai pelantikan barisan Kabinet kini hampir selesai dan berharap ia dapat diumumkan dalam masa terdekat.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dalam pada itu berkata beliau akan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada 8 pagi ini.

“Saya mohon maaf, terpaksa bergegas (untuk) selesaikan masalah (isu kabinet) dengan semua komponen, kerana kita harus segera bentuk barisan jemaah menteri dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, saya harap dapat diumum dalam masa dua, tiga hari lagi,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Reformis di Sungai Long, Kajang, malam Khamis.

Perjalanan majlis itu disiarkan secara langsung dalam laman Facebooknya.

Pagi ini, Anwar menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kenderaan dinaiki Anwar dilihat memasuki perkarangan Istana Negara melalui Pintu 1 pada 8.22 pagi.

Selepas sesi menghadap hampir sejam, beliau kemudian beredar meninggalkan perkarangan Istana Negara pada 9.15 pagi. 

Anwar turut dijadualkan menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Istana Kinta pada 10 pagi.

Selepas itu, beliau dijadual mengadakan sesi tinjauan mesra  di Pasar Tanjung Rambutan,  lawatan tapak Klinik Kesihatan Manjoi dan kemudian solat Jumaat dan Kenduri Rakyat di Masjid Muhammad Al Fateh, Taman Jati, Ipoh. - BERNAMA 
 

Advertisement