Anda di sini

Tuntutan 40 peratus hasil Sabah tidak akan dihapuskan: Hajiji

Advertisement
 Hajiji (kanan) ketika menyampaikan ucapan penggulungan perbahasan Belanjawan Negeri Sabah 2023.
PENGGULUNGAN: Hajiji (kanan) ketika menyampaikan ucapan penggulungan perbahasan Belanjawan Negeri Sabah 2023.

KOTA KINABALU: Pewartaan Perintah Perlembagaan Persekutuan (Kajian Semula Pemberian Khas Di Bawah Perkara 112D) Negeri Sabah 2022 bukan bertujuan menghapuskan tuntutan 40 peratus hasil negeri dari kerajaan Persekutuan.

Ketua Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, pewartaan berkenaan bagi membolehkan kerajaan Persekutuan membayar pemberian khas kepada Sabah selama lima tahun sehingga 2026.

Katanya, perkara berkenaan turut diperjelaskan secara terperinci dalam Mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri terdahulu

"Saya jelaskan dalam mesyuarat MKMA63 bahawa tuntutan 40 peratus tidak ada kaitan dengan bayaran yang diberikan dalam pewartaan pemberian khas kepada negeri Sabah.

"Kita juga mengeluarkan kenyataan bersama Perdana Menteri pada 14 April 2022 bahawa tuntutan 40 peratus hasil Sabah tidak ada kaitan dengan pemberian khas berkenaan.

"Saya sebagai ahli dalam MKMA63 menjelaskan tidak ada satu keputusan dibuat berkaitan menghapuskan tuntutan 40 peratus dan pewartaan itu dibuat bagi membolehkan kerajaan Persekutuan membayar jumlah yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Darell Leiking (WARISAN-Moyog) dan Assafal P. Alian (WARISAN-Tungku) mengenai pewartaan pemberian khas dan tuntutan 40 peratus hasil negeri dalam ucapan penggulungan perbahasan Belanjawan Negeri Sabah 2023 di sini hari ini.

Hajiji berkata, sejak 1969, kerajaan negeri menerima amaun pemberian khas yang statik tanpa sebarang peningkatan iaitu RM26.7 juta setahun.

Namun jelasnya, di bawah pimpinan kerajaan negeri, susulan kepada beberapa perbincangan dan rundingan akhirnya pada April lepas, kata sepakat berjaya dicapai supaya bayaran pemberian khas ditingkatkan kepada RM125.6 juta.

"Saya amat sedar dan tahu bahawa peningkatan pembayaran kepada RM125.6 juta yang kita terima tahun ini jauh lebih rendah berbanding apa yang sepatutnya diterima kerajaan negeri berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan MA63.

"Justeru, ingin saya tekankan bahawa peningkatan bayaran berkenaan diterima tanpa prejudis atas dasar bahawa ia adalah pengaturan secara interim (interim arrangement).

"Ia turut menegaskan hak-hak kerajaan negeri untuk bergantung kepada formula asal seperti yang dinyatakan dalam Perkara 112C dan Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan serta mendapatkan sebarang bayaran tunggakan ke atas ketiadaan semakan semula pemberian khas semenjak 1973," katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, dalam pertemuan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, beliau turut membangkitkan isu berkenaan.

"Beliau (Anwar) memberi jaminan akan terus mempertimbangkan secara serius permintaan tuntutan negeri Sabah dalam MA63 seperti yang kita utarakan kepada beliau.

"Mudahan perkara ini dapat direalisasikan dan saya akan bawa masalah ini kerana ia sudah terlampau berpanjangan diutarakan oleh seluruh pimpinan dan rakyat Sabah.

"Kalau saya masih Ketua Menteri, saya akan bawa perkara ini," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement