Anda di sini

Terima hakikat Anwar adalah Perdana Menteri Malaysia

Advertisement
JIMMY
JIMMY


KOTA KINABALU: Semua parti politik perlu menerima hakikat bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah Perdana Menteri Malaysia Ke-10.

Ketua Pergerakan Pemuda Parti Liberal Demokratik (LDP) Jimmy Lai berkata, semua parti kini perlu mengelakkan membuat kenyataan bersifat perkauman yang mampu menjejaskan suasana harmoni dan perpaduan negara.

Katanya, mereka khususnya parti politik yang tidak dapat menerima hakikat berkenaan harus bersikap rendah diri agar dilihat sebagai pemimpin berwibawa.

"Bukan hanya tahu mengeluarkan kata-kata kesat, fitnah selepas kalah dan gagal membentuk kerajaan sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat negara ini.
 
"Perlantikan Anwar sebagai Perdana Menteri disokong penuh oleh pelbagai lapisan bangsa di negara ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihak yang gagal itu jangan menuding jari dan menyalahkan pihak lain, sebaliknya berikan peluang kepada kerajaan perpaduan untuk memulihkan keadaan ekonomi negara.

"Rakyat kini lebih bijak, tidak lagi termakan dengan janji-janji dibuat pada kempen pilihan raya, sebaliknya mahu melihat pelaksanaan terhadap janji yang diberikan.

"Saya berharap kerajaan perpaduan ini mampu menunaikan janji dengan berkesan seterusnya membawa kesejahteraan dalam kalangan rakyat di semua peringkat," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement