Anda di sini

Senegal tempa sejarah sendiri dalam bola sepak tanah air

Advertisement
Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan Piala Dunia Kumpulan A di antara Ecuador dan Senegal di Stadium Antarabangsa Khalifa di Doha. — Gambar AFP
Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan Piala Dunia Kumpulan A di antara Ecuador dan Senegal di Stadium Antarabangsa Khalifa di Doha. — Gambar AFP

DOHA: Kalidou Koulibaly memastikan Senegal melangkah ke pusingan kedua Piala Dunia buat kali kedua dalam sejarah mereka apabila menjaringkan gol kemenangan 2-1 ke atas Ecuador dalam perlawanan terakhir pusingan pertama pada Selasa.

Kemenangan Belanda ke atas Qatar bermakna Senegal memerlukan kemenangan untuk melangkah ke pusingan kedua dari Kumpulan A sementara Ecuador boleh meneruskan kemaraan dengan keputusan seri.

Senegal membuka jaringan menerusi penalti lewat Ismaila Sarr dalam separuh masa pertama tetapi walaupun berjaya mengawal ketat kapten Ecuador, Enner Valencia hampir sepanjang permainan, Moises Caicedo mengikat keduduka pada minit ke-67 sebelum Koulibaly memastikan pasukannya meneruskan kemaraan untuk gol antarabangsa yang pertamanya.

“Empat hari yang lalu, kami berasa sangat kecewa. Kami tahu ini adalah situasi menang atau kalah,” kata jurulatih Senegal, Aliou Cisse.

Koulibaly, yang juga dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan, berkata bahawa Senegal “perlu menunjukkan kenapa mereka adalah juara Afrika” apabila berdepan England di pusingan kedua.

“Kami perlu berehat, tidak terlalu gembira dan ya, kami layak ke pusingan kedua dan boleh meraikannya tetapi sekarang kami perlu memberikan fokus,” kata pemain pertahanan kelab Chelsea itu.

Jurulatih Ecuador, Gustavo Alfaro berasa kecewa dengan prestasi pasukannya dalam separuh masa pertama dengan berkata “kami tidak seperti diri kami sendiri.”

“Pada masa rehat saya memberitahu mereka jika mereka mahu terus kekal dalam Piala Dunia, mereka harus bermain,” katanya.

“Hari ini, kami mengakhiri satu impian indah pemain sejak beberapa tahun yang lalu.”

Cisse berjanji sebelum perlawanan bahawa pasukannya “tidak terlalu berfikir ke hadapan” dan mereka memulakan permainan dengan memberangsangkan apabila Idrissa Gana Gueye melihat rembatannya tersasar seawal minit ketiga.

Kurang seminit kemudian, penjaga gol Ecuador, Hernan Galindez menepis satu cubaan dari luar kotak penalti.

Pada minit ke-10, Boulaye Dia mendapati dirinya hanya berdepan Galindez tetapi dia melakukan penyudah liar.

Ecuador mula meningkatkan permainan dan memperolehi satu tendangan percuma pada jarak 30 meter dari pintu gol tetapi Valencia melihat tendangannya terkena dinding pemain.

Selepas kedua-dua pasukan saling menyerang dan membayangkan permainan akan terikat sehingga masa rehat, Piero Hincapie mengasari Sarr dalam kotak penalti, menyebabkan pengadil tidak teragak-agak memberikan tendangan penalti.

Sarr tenang menewaskan Galindez untuk membuka jaringan.

Ecuador memulakan separuh masa kedua dengan lebih bersemangat, mungkin selepas mendengar Belanda sudah menjaringkan dua gol ke atas Qatar, bermakna mereka perlu keputusan seri untuk meneruskan kemaraan.

Dari satu  tendangan percuma, Felix Torres melompat tinggi dan mengumpan bola kepada Caicedo untuk melakukan penyudah dari jarak dekat.

Senegal kembali di hadapan tidak lama selepas itu dengan cara yang sama seperti gol Ecuador apabila Koulibaly tidak dikawal di tepi palang gol untuk menolak bola masuk. — AFP
 

Advertisement