Anda di sini

SBA anjur pertandingan badminton Piala Abang Jo

Advertisement
Abdul Karim pada sidang media Piala Abang Jo di Bilik Jawatankuasa 1, Aras 3 Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini. – Gambar Muhamad Rais Sanusi.
Abdul Karim pada sidang media Piala Abang Jo di Bilik Jawatankuasa 1, Aras 3 Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini. – Gambar Muhamad Rais Sanusi.

KUCHING: Persatuan Badminton Sarawak (SBA) akan menganjurkan pertandingan badminton iaitu Piala Abang Jo melibatkan acara badminton junior selama tiga hari bermula 2 hingga 4 Disember ini.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, acara yang diadakan di Kompleks SBA itu melibatkan penyertaan dari seluruh Malaysia.

Menurutnya, format untuk pertandingan Piala Abang Jo ini sama seperti Piala Thomas tetapi tempat pertandingan Piala Abang Jo diadakan di Sarawak dan ia terbuka kepada warga Malaysia.

"Sebanyak lima kategori yang dipertandingkan iaitu tiga kategori untuk perseorangan lelaki dan dua kategori untuk beregu lelaki.

"Kategori lelaki melibatkan lelaki bawah 14, bawah 16 dan bawah 18 manakala dua kategori beregu lelaki ialah beregu lelaki bawah 16 dan bawah 18," katanya pada sidang media Piala Abang Jo, di Bilik Jawatankuasa 1, Aras 3 di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Jelasnya, jumlah keseluruhan hadiah wang tunai yang diperuntukkan ialah RM20,000 dan dijangka lebih 100 peserta dari seluruh Malaysia akan bertanding.

Katanya, acara penutupan pertandingan dijangka disempurnakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 4 Disember 2022 sekitar jam 4 petang di Dewan SBA.

Tambah beliau, untuk kategori acara badminton wanita, ia dijangka akan dilaksanakan pada 2023.

Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan berkata, usaha perkembangan badminton di Sarawak juga mendapat pengiktirafan di mana dua atlet dari Sarawak diserap masuk ke program pembangunan badminton kebangsaan.

"Sudah lama atlet badminton dari Sarawak tidak mendapat pengiktirafan seperti ini dan ini sekali gus menunjukkan perkembangan yang baik sukan badminton di Sarawak," ujarnya.

Beliau pada masa yang sama menegaskan supaya pihak luar turut mengambil bahagian dalam penganjuran sukan seperti ini.

"Kerajaan juga berharap agar badan sukan yang lain turut aktif dalam usaha membangunkan sukan di Sarawak.

"Jangan hanya menjadi presiden persatuan di kad nama sahaja dan tiada usaha untuk pembangunan sukan," jelasnya.

Turut hadir Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Gerald Rentap Jabu, Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail.
 

  • oleh
  • Advertisement