Anda di sini

Sarawak teruskan kerjasama ekonomi dengan Indonesia

Advertisement

Bakal dapat manfaat daripada pemindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan Timur

 

"Antara inisiatif utama termasuk pembangunan ekonomi rentas sempadan melalui aktiviti pembuatan dan perdagangan.” 

Datuk Amar Douglas Uggah Embas
Timbalan Premier Sarawak 

KUCHING: Sarawak bakal mendapat manfaat daripada pemindahan ibu negara Indonesia dari Jakarta ke Kalimantan Timur, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau berkata, sehubungan itu kerajaan negeri akan meneruskan kerjasama ekonomi yang lebih erat dengan Indonesia khususnya di Kalimantan dalam pelbagai bidang. 

"Antara inisiatif utama termasuk pembangunan ekonomi rentas sempadan melalui aktiviti pembuatan dan perdagangan.

"Selain itu, kerajaan turut memanfaatkan sumber asli dan hasil pertanian dari Kalimantan yang boleh digunakan untuk aktiviti pemprosesan hiliran di Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan bagi Kementerian Kewangan dan Ekonomi Baharu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Uggah yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Kedua berkata, bagi memudahkan perdagangan dan memastikan rangkaian dan komunikasi yang baik dalam pemain industri, Sarawak mempunyai kemudahan pelabuhan yang baik.

Katanya, ini termasuk menyediakan rangkaian perkapalan yang lebih pantas dan lebih baik kepada ekonomi utama seperti China dan India. 

"Ini untuk memudahkan perdagangan dan memastikan rangkaian dan komunikasi yang lebih baik di kalangan pemain industri, pelabur dan komuniti perniagaan dari Sarawak dan Indonesia.

"Kerajaan negeri juga akan membangunkan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan di Pontianak, Kalimantan Barat, yang akan mempunyai fungsi serupa seperti STATOS di Singapura," tambahnya.

Mengulas lanjut, Uggah berkata kerajaan akan terus menarik lebih ramai rakyat Indonesia untuk pelancongan perubatan dan pendidikan.

"Ia bertujuan memanfaatkan ketersediaan klinik perubatan dan hospital swasta serta institusi pengajian tinggi swasta seperti Curtin University, Swinburne University, Universiti Lim Kok Wing, Universiti UCSI dan Universiti Teknologi Sarawak. 

"Pada masa ini, Sarawak menerima jumlah ketibaan warga Indonesia yang tinggi untuk mendapatkan rawatan di pelbagai hospital dan klinik swasta," katanya.

Jelas Uggah, jumlah itu termasuk pelajar Indonesia yang melanjutkan pelajaran di pelbagai institusi pengajian tinggi swasta di bandar-bandar utama di Sarawak.

  • oleh
  • Advertisement