Anda di sini

Sarawak berjaya capai empat perkara menerusi Mesyuarat Majlis Khas mengenai MA63

Advertisement
 

KUCHING: Kerajaan Sarawak berjaya mencapai empat perkara menerusi Mesyuarat Majlis Khas mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan. 

Empat perkara yang berjaya dicapai itu adalah pengiktirafan hak Sarawak untuk mengawal selia pengagihan gas di negeri ini, pengiktirafan hak Sarawak untuk mengenakan cukai jualan ke atas produk petroleum, persetujuan rundingan di antara Kerajaan Sarawak dan Petronas melalui Perjanjian Penyelesaian Komersial (CSA) dan penurunan kuasa Pelesenan Perikanan Laut Dalam kepada Kerajaan Sarawak. 

Selain daripada itu katanya, pencapaian yang amat bermakna bagi rakyat Sarawak adalah pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan yang kini mengiktiraf MA63, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dan surat cara perlembagaan yang dilampirkan padanya dalam Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi di negara ini. 

“Bagaimanapun, masih terdapat beberapa perkara dan tuntutan yang memerlukan tindakan, pertimbangan dan persetujuan kerajaan persekutuan selanjutnya,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungannya bagi Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Jelas Awang Tengah lagi yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, antara perkara yang diberi penekanan dan dikemukakan kepada perhatian kerajaan persekutuan, pertama semakan semula pemberian khas di bawah Perkara 112D, Perlembagaan Persekutuan. 

Turut dikemukakan untuk perhatian, penyerahan semula tanah dirizabkan bagi maksud persekutuan di Sarawak dan pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak sebagai Jabatan Teknik di bawah Arahan Perbendaharaan 182. 

Sarawak menurut Awang Tengah turut mengemukakan untuk perhatian pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak, pelantikan wakil Kerajaan Sarawak sebagai anggota Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), perkhidmatan awam dan Borneonisasi dan isu pertambahan ahli dewan rakyat. 

“Selain daripada perkara-perkara yang disebut di atas, Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak akan terus menyuarakan apa-apa yang menjadi kepentingan Sarawak. 

“Ini termasuk isu mengenai duti setem, obligasi kerajaan persekutuan di bawah senarai bersama dan pemberian kuasa mengenai alam sekitar selari dengan peruntukan perundangan bagi mengembalikan hak-hak Sarawak yang telah terhakis selama ini. 

“Kerajaan persekutuan yang lalu telah pun bersetuju untuk melaksanakan pembangunan keselamatan sempadan termasuk perancangan Joint Border Development di Tebedu-Entikong dan Ba’Kelalan-Long Midang. Saya berharap ini akan dapat diperinci dan dilaksanakan,” ujarnya. 

Advertisement