Anda di sini

PPM Sabah catat RM24.1 juta rampasan, kompaun sejak Januari

Advertisement
 Ahmad menyampaikan sijil penghargaan kepada Pegawai Pemerintah Markas PPM Lahad Datu Superintendan Gan Ping Sin.
CEMERLANG: Ahmad menyampaikan sijil penghargaan kepada Pegawai Pemerintah Markas PPM Lahad Datu Superintendan Gan Ping Sin.

KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Sabah berjaya mencatatkan RM24,069,188.87 rampasan serta kompaun bagi tempoh Januari sehingga November tahun ini.

Komander PPM Wilayah Empat Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata daripada jumlah itu nilai rampasan adalah sebanyak RM23,744,988.87 dan selebih RM324,200 ialah hasil kompaun.

“Tangkapan bagi Akta Perikanan 1985 mencatatkan rampasan paling tinggi mencecah RM13,965,490 dengan membabitkan saman sebanyak RM43,000 diikuti rampasan Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu rampasan sejumlah RM5,231,083.88.

“Akta Kastam 1967 turut merekodkan rampasan RM2.3 juta diikuti rampasan lain iaitu RM861,134 bagi Ordinan Perkapalan Saudagar 1960 (MSO), RM220,946 rampasan Akta Penjualan Dadah 1952 membabitkan Peraturan Penjualan Dadah dan Kosmetik 1984 atau Akta Farmasi 1952,” katanya semasa perhimpunan bulanan PPM Wilayah Empat di sini semalam.

Ahmad berkata meskipun jumlah keseluruhan rampasan serta kompaun berkurang sebanyak RM6.4 juta berbanding RM30.5 juta tahun lalu, pihaknya mencatatkan prestasi memberangsangkan bagi tempoh yang dinyatakan tahun ini.

“Jumlah keberhasilan tahun ini meningkat 1,490 berbanding hanya 1,357 tahun lalu dengan catatan MSO 1960 paling banyak sehingga 917 kes.

“Ini diikuti dengan Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 sebanyak 249, Akta Kawalan Bekalan 1961 97 kes, Akta Perikanan 103 kes membabitkan pelanggaran syarat 93 kes dan bom ikan 10 kes,” katanya sambil menambah kes lain mencatatkan kurang dari 40 kes.

Menurutnya Semporna dan Tawau dilihat merekodkan penambahan keberhasilan iaitu semporna bertambah sebanyak 63 menjadikan 331 tahun ini berbanding 265 tahun lalu manakala Tawau bertambah 34 dengan jumlah 302 tahun ini berbanding 268 tahun lalu.

Beliau berkata pihaknya turut merekodkan bilangan pemeriksaan kapal daripada 16,349 buah tahun lalu yang meningkat kepada 27,587 tahun ini dengan penambahan pemeriksaan sebanyak 11,238 buah kapal.

“Pemeriksaan individu turut meningkat sebanyak 44,938 iaitu 52,590 tahun lalu kepada 97,528 tahun ini.

“Markas Operasi (MO) Semporna merekodkan pemeriksaan kapal paling tinggi iaitu 6,635 dengan pemeriksaan individu seramai 20,678 manakala Kota Kinabalu kedua tertinggi sejumlah 5,013 membabitkan pemeriksaan seramai 26,736 orang,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement