Anda di sini

Penganggur miliki dan salah guna dadah dipenjara lapan bulan

Advertisement
 

KUCHING: Seorang penganggur lelaki dijatuhi hukuman penjara lapan bulan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas kesalahan memiliki 0.28 gram Methamphetamine dan memasukkan dadah ke dalam tubuh sendiri.

Ma Chung Chiu, 53, mengaku bersalah apabila didakwa atas dua pertuduhan yang dibuat di bawah dua seksyen berbeza.

Bagi pertuduhan pertama di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama, tertuduh didakwa memiliki 0.28 gram Methamphetamine pada 4 September 2012, sekitar jam 12.25 tengah malam di sebuah bilik di Rajah Court, Jalan Tun Razak di sini. 

Berdasarkan keterangan kes, polis melakukan serbuan di bilik tersebut dan menahan tertuduh yang disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Pemeriksaan terhadap bilik tersebut membawa kepada penemuan sebuah kotak kecil di atas meja, di dalamnya mengandungi dua peket plastik lutsinar berisi hablur kristal disyaki dadah jenis syabu dengan berat kasar 0.77 gram. 

Sementara itu, pertuduhan kedua di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta yang sama pula menyaksikan tertuduh didakwa memasukkan dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine ke dalam tubuh sendiri.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya sekitar jam 4.10 petang, pada 9 April 2015, di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Daerah Kuching.

Sehubungan itu, Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali menetapkan tertuduh dijatuhi hukuman penjara lapan bulan bagi pertuduhan pertama manakala bagi pertuduhan kedua, penjara enam bulan. 

Mahkamah juga memerintahkan hukuman penjara dikuatkuasakan mulai hari ini  (1 Disember 2022). 

Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu juga diarahkan menjalani dua tahun pengawasan polis bagi pertuduhan di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang.
 

  • oleh
  • Advertisement