Anda di sini

Penerbangan pertama MYAirline bermula hari ini, tambang yang murah untuk destinasi kegemaran ramai

Advertisement
Kakitangan MYAirline menunjukkan sepanduk MYAirline “Fly The New Red”. -Gambar Bernama
Kakitangan MYAirline menunjukkan sepanduk MYAirline “Fly The New Red”. -Gambar Bernama

KUALA LUMPUR : Dikenali dengan nama Z9 Elite Sdn Bhd sebelum ini, MYAirline Sdn Bhd akan mengendalikan penerbangan pertamanya ke Langkawi, Kuching dan Kota Kinabalu pada 1 Disember 2022. 

Sebagai syarikat penerbangan pertama di dunia yang dilengkapi dengan tempat duduk yang ringan, inovatif dan mesra alam, MYAirline merupakan perintis syarikat penerbangan tambang rendah (LCC) di Malaysia untuk mendigitalkan semua manual yang berkaitan. 

Beroperasi dari habnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2), harga tiket ditawarkan serendah MYR48 dari Kuala Lumpur ke Langkawi manakala tambang untuk destinasi di Malaysia Timur – Kuching dan Kota Kinabalu masing-masing dari MYR68 dan MYR88 .

MYAirline juga akan menawarkan khidmat “live chat”  (sembang langsung) dengan penumpang atau pelanggan mereka, dan bukan hanya bergantung kepada “chatbots”. Ini bagi memastikan perkhidmatan berkualiti dan komunikasi dua hala yang berkesan. 

Dengan kira-kira 500 pekerja termasuk sekitar 60 juruterbang, MYAirline akan mengendalikan khidmat penerbangan menggunakan pesawat Airbus A320-200.

Teo bercakap pada sidang media di SS15 Courtyard, Subang Jaya semalam. -Gambar Bernama
Teo bercakap pada sidang media di SS15 Courtyard, Subang Jaya semalam. -Gambar Bernama

Semasa sesi media di Subang baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MyAirline Rayner Teo mengatakan bahawa syarikat penerbangan itu juga merancang untuk terbang di rantau ASEAN selewat-lewatnya pada suku kedua tahun depan. 

Katanya, pihaknya sedang merancang untuk penerbangan antarabangsa; 4 jam penerbangan sebagai permulaan. 

"Laluan tempatan lain termasuk Kota Bharu, Miri, dan Pulau Pinang yang menunggu kelulusan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM)," jelasnya.

Teo juga berkata MYAirline sedang mengkaji rantau Asia Tenggara iaitu Bangkok, Singapura dan Bali untuk penerbangan antarabangsa.

Dari segi hidangan dalam penerbangan, penumpang boleh menikmati pelbagai juadah tempatan seperti Nasi Lemak, Mee Goreng, Roti Jala dan juga  Jjajangmyeon, makanan Korea. 

Tempahan makanan boleh dibuat awal sebelum penerbangan untuk memperoleh harga yang lebih murah.

Dengan mengambil kira keselesaan kru kabinnya, MYAirline menjadi syarikat penerbangan pertama di Malaysia yang mereka bentuk pakaian seragam neutral jantina dengan jaket dan seluar uniknya yang digayakan dengan sepasang kasut putih. 

Kakitangan lelaki dan wanita boleh bergerak bebas dengan gaya hoodie MYAirline.

MYAirline mempunyai tempat duduk yang tidak boleh  dilaraskan. 

Walau bagaimanapun, tempat duduk ini cukup selesa dengan ruang kaki yang mencukupi, dan mampu memperkaya pengalaman penerbangan.

Dalam hal logo dan warna, Teo mengatakan bahawa warna merah tersebut telah menarik minat mereka berbanding warna logo lain yang dicadangkan oleh pasukan jenama syarikat tersebut. 

MYAirline menggunakan teknologi inovatif dan mesra alam dalam produk dan perkhidmatannya untuk memastikan pengalaman yang mudah dan lancar untuk para penumpang.

Pesawat ini yang boleh menjimat minyak dan perkhidmatan berkualiti tingginya ternyata menjadi antara faktor utama dalam memilih penerbangan yang berkos murah dan sekaligus dapat memuaskan hati penumpang.
 

  • oleh
  • Advertisement