Anda di sini

Pendidikan di sekolah perlu seimbang jasmani, intelektual

Advertisement
 Lo menyampaikan hadiah kepada atlet yang menang dalam acara olahraga.
PEMENANG: Lo menyampaikan hadiah kepada atlet yang menang dalam acara olahraga.

TAWAU: Pendidikan di sekolah perlu seimbang dari segi jasmani dan intelektual supaya modal insan yang dilahirkan mampu berdaya saing pada masa akan datang.

Ahli Parlimen Tawau Lo Su Fui berkata, modal insan yang mendapat pendidikan seawal sekolah rendah perlu bersifat holistik selari dengan perkembangan terkini.

Katanya, badan sihat otak cerdas boleh dikaitkan dengan aktiviti-aktiviti jasmani yang diadakan di sekolah.

“Temasya sukan di sekolah adalah salah satu usaha bagi memastikan akses pendidikan yang berkualiti untuk setiap murid.

“Ia secara tidak langsung mampu melonjakkan pencapaian murid-murid dalam bidang pembelajaran, sekali gus mencungkil bakat kesukanan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberikan ucapan perasmian kejohanan sukan tahunan Sekolah Kebangsaan Batu Payung, di sini hari ini.

Menurutnya, temasya sukan sekolah yang diadakan pada setiap tahun adalah untuk membina semangat kesukanan semua murid sekolah.

“Ia bukan sekadar satu temasya untuk mengukur kemampuan murid bertanding dalam sukan, tetapi dapat membina keyakinan diri, suntikan kreativiti dan inovasi dalam kalangan mereka.

“Elemen ini sangat penting bagi mengiktiraf keboleh mampuan berfikir dalam menjana kemenjadian murid yang cemerlang dan bersahsiah mulia,” katanya.

Katanya, kerajaan sentiasa memberikan sokongan dan dorongan kepada murid-murid yang menunjukkan minat dalam bidang sukan.

“Semua pihak termasuk ibu bapa murid perlu memberikan sokongan yang padu kepada anak-anak mereka supaya melibatkan diri dalam aktiviti sukan.

“Saya percaya sekolah ini mampu melahirkan atlet-atlet yang berkualiti dan boleh bersaing ke peringkat lebih tinggi lagi,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement