Anda di sini

Nilai eksport industri perkayuan Sarawak meningkat kepada RM3.05 bilion suku ketiga 2022

Advertisement
 

KUCHING: Prestasi industri perkayuan di Sarawak menunjukkan peningkatan nilai eksport sebanyak 4.5 peratus kepada RM3.05 bilion pada suku ketiga tahun 2022 berbanding RM2.92 bilion pada tempoh yang sama tahun 2021.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, dalam industri tersebut Jepun kekal sebagai pengimport utama bagi produk perkayuan negeri Sarawak.

Menurutnya, hasil daripada nilai eksport dari Jepun menyumbang sebanyak RM1.88 bilion atau 62 peratus daripada keseluruhan nilai eksport bagi tempoh suku ketiga tahun 2022.

"Pasaran utama lain iaitu India sebanyak RM357 juta, negara-negara Timur Tengah sebanyak RM134 juta, China sebanyak RM131 juta dan Taiwan sebanyak RM117 juta.

"Dari segi produk, papan lapis menunjukkan peningkatan nilai eksport iaitu sebanyak 2.5 peratus bagi tempoh suku ketiga tahun 2022 kepada RM1.67 bilion berbanding RM1.63 bilion bagi tempoh sama 2021," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan Mesyuarat Ketiga Bagi Penggal Pertama DUN Ke-19, di DUN Sarawak, di sini hari ini.

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak berkata, kerajaan bagaimanapun terus komited untuk meningkatkan nilai eksport di Sarawak.

"Usaha meningkatkan nilai ekport ini menggalakkan lebih banyak pengeluaran produk nilai tambah yang tinggi seperti perabot dan produk kejuruteraan kayu serta menggiatkan usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D).

"Sehubungan itu, usaha ini diharap mengekalkan kadar peningkatan sehingga hujung tahun 2022 dan masa hadapan," katanya sambil menambah, ia bertujuan memastikan industri perkayuan terus menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi Sarawak.

Pada masa sama, Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar ll itu menjelaskan, dalam pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), Kerajaan Sarawak juga komited untuk meningkatkan nilai pendapatan eksport barangan kayu kepada RM8 bilion pada 2030. 

Jelasnya, sasaran eksport ini memberi fokus kepada pengeluaran produk tambah nilai yang tinggi seperti perabot, produk kayu kejuruteraan dan produk berasaskan buluh, selain usaha penyelidikan dan pembangunan produk dipergiat.

"Sasaran ini seiring dengan potensi pertumbuhan yang diunjurkan dalam nilai pasaran perabot dunia.

"Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Research and Markets, US 2022, nilai pasaran perabot dunia berjumlah USD945 bilion setahun menjelang tahun 2030 berbanding hanya USD637 bilion setahun pada tahun 2021. 

"Manakala nilai pasaran untuk produk kayu kejuruteraan dijangka meningkat kepada melebihi USD400 bilion setahun menjelang 2030 berbanding hanya USD284 bilion setahun pada tahun 2019," jelas beliau.

Ujarnya, kerajaan melalui agensi yang berkaitan akan terus membantu pihak industri untuk menyediakan kemudahan infrastruktur yang diperlukan.

"Antaranya ialah makmal pengujian perabot, tapak perindustrian seperti Furniture Park di Demak Laut dan Tanjung Manis.

"Selain itu, usaha meningkatkan kolaborasi R&D dengan institusi pengajian tinggi tempatan, institut penyelidikan dan pemain industri turut dilaksanakan untuk membangun produk-produk nilai tambah yang lebih berdaya saing," katanya lagi.
 

  • oleh
  • Advertisement