Anda di sini

Lelaki ceroboh kawasan larangan, cuba naik pesawat dipenjara setahun

Advertisement
 Tertuduh selepas dijatuhkan hukuman penjara selama 12 bulan selepas didapati bersalah memasuki kawasan larangan.
CEROBOH: Tertuduh selepas dijatuhkan hukuman penjara selama 12 bulan selepas didapati bersalah memasuki kawasan larangan.

KOTA KINABALU: Seorang lelaki Bajau laut yang menceroboh ke kawasan larangan sebelum cuba masuk ke dalam pesawat dipenjara 12 bulan.

Tertuduh Alsid Patulla, 30 berasal dari Semporna itu dituduh mengikut Seksyen 7 Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali sekiranya sabit kesalahan.

Majistret Jessica Ombou Kakayan kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara selama 12 bulan dari tarikh tertuduh ditahan dan kes akan dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas tertuduh selesai menjalani hukuman.

Pendakwaan dijalankan Inspektor Albert Basiri.

Mengikut pertuduhan, Alsid menceroboh masuk ke dalam kawasan larangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) pada jam 9.50 malam 27 November lalu.

Kejadian kemudiannya dikesan pengawal keselamatan sebuah syarikat penerbangan yang sedang memerhatikan penumpang menaiki pesawat yang akan berlepas ke Johor Bharu.

Tertuduh dilihat berlari ke arah tangga pesawat dan cuba menaiki pesawat sebelum ditahan oleh pengawal keselamatan terbabit dengan bantuan unit khas Malaysia Airlines Bhd (MAB).

Semasa ditanya, tertuduh mengakui memanjat masuk ke dalam kawasan terbabit melalui pagar kayu berhampiran rumah pam dan berjalan kaki sejauh tujuh kilometer sebelum melihat pesawat terbabit dan cuba untuk menaikinya.

Tertuduh juga menyatakan tidak mempunyai tiket penerbangan dan ingin ke Kuala Lumpur untuk mencari saudaranya.

Tertuduh kemudiannya dibawa ke Balai Polis LTAKK untuk tindakan lanjut sebelum direman selama empat hari dan kes dirujuk ke Jabatan Peguam Negara.

  • oleh
  • Advertisement