Anda di sini

Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar diharap dapat beri tumpuan isu keselamatan perairan: Dr Daud

Advertisement
DR DAUD YUSOF
DR DAUD YUSOF



BONGAWAN: Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diharap dapat memberikan tumpuan terhadap usaha menangani isu ancaman luar serta pencerobohan di perairan Malaysia yang menjadi kebimbangan rakyat terutama di Sarawak dan Sabah.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan, Dr Daud Yusof (gambar) berkata, usaha menangani isu ancaman serta pencerobohan perlu diberi keutamaan memandangkan ia berkait rapat dengan kedaulatan dan keselamatan negara.


Jelas beliau, sekiranya isu itu tidak diutamakan ia dikhuatiri akan memberi implikasi negatif terhadap ekonomi dan sosial rakyat Sabah khususnya.


Untuk tahun 2021 sahaja katanya, laporan Tentera Laut Di Raja Malaysia (TLDM) mengesahkan 23 kes pencerobohan kapal di Zon Maritim Malaysia, Laut China Selatan telah direkodkan manakala diantara tahun 2016 sehingga 2019 terdapat 89 laporan  telah direkodkan.


"Terdapat pangkalan tentera di kepulauan Spratly dan itu merupakan ancaman paling hampir dengan perairan Malaysia dan dengan bilangan pencerobohan yang kian meningkat setiap hari, isu ini harus diberi keutamaan oleh Kerajaan Persekutuan.


"Ia bukan saja mengancam keselamatan dan kedaulatan Sabah serta Malaysia, malah turut memberi kesan negatif kepada Geo-politik dan sosial masyarakat Sabah yang sewajarnya diambil perhatian serius oleh Perdana Menteri.


"Kami berpendapat PM (Anwar Ibrahim) wajar menekankan dengan jelas dan teliti akan rancangan serta tindakan yang akan diambil Kerajaan Perpaduan bagi menangani isu ancaman dan pencerobohan ini," katanya dalam satu kenyataan.


Dalam pada itu, Daud memberitahu, Sidang Kemuncak G20 di Bali minggu lalu menyaksikan negara China dan Indonesia telah bersetuju memeterai usaha koordinasi strategik di Laut China Selatan bagi memastikan kepentingan kedua-dua pihak terpelihara.


Pada sidang tersebut, Indonesia turut mengumumkan pembangunan hab maritim antarabangsa di Laut China Selatan yang menguatkan lagi tuntutan mereka bagi kawasan perairan negara.


"Perkara ini jika tidak diperhalusi dan dicerakinkan dengan teliti akan mengakibatkan Malaysia bukan saja tidak terlibat dalam sebarang perbincangan tetapi juga akan ketinggalan dari segi ekonomi dengan negara-negara jiran," katanya.


Dalam perkembangan sama, Dr Daud yang juga Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Warisan (WARISAN) menegaskan, Kerajaan Perpaduan wajar memberikan jaminan kukuh kepada rakyat Sabah dengan memperincikan perbelanjaan spesifik yang akan diperuntukkan untuk membaik pulih dan memperkasa keselamatan di Sabah.


Katanya, tidak ada indikasi sehingga kini di dalam pembentangan bajet kerajaan sebelum ini mahu pun dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) yang memberi gambaran terperinci bagi membela keselamatan serta kedaulatan Sabah.


"Tidak ada dalam bajet kerajaan sebelum ini atau pun dalam manifesto PH tentang usaha membela keselamatan dan kedaulatan Sabah berbanding dengan perbelanjaan keselamatan untuk Semenanjung.


"Isu ancaman dan keselamatan di Sabah sudah lama kami perjuangkan namun hingga kini tiada usaha dari kerajaan persekutuan sebelumnya, justeru Sabah selepas ini wajar diberi keutamaan dalam perbelanjaan Malaysia di bawah Kerajaan Perpaduan," tegasnya.


Dr Daud berkata, pihaknya percaya Anwar akan tampil dengan  perancangan teliti dan terkini, berdaya saing dan menyeluruh bagi memastikan perairan negara khususnya di Sabah terus terpelihara.


Katanya, selain perbelanjaan aset ketenteraan baharu, pihaknya turut berpendapat peruntukan perolehan ketenteraan tambahan, bilangan jawatan tentera yang mencukupi serta penempatan infrastruktur keselamatan strategik, amat diperlukan dalam inisiatif itu.


"Perancangan teliti seumpama itu perlu dan saya yakin akan dilaksanakan di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan bagi memastikan rakyat Sabah kekal terbela dan dilindungi dari sebarang bentuk ancaman atau pencerobohan," tegasnya.

  • oleh
  • Advertisement