Anda di sini

England kubur harapan Wales

Advertisement
Sebahagian daripada babak aksi perlawanan Piala Dunia 2022 Kumpulan B di antara Wales dan England di Stadium Ahmad bin Ali di Doha. — Gambar AFP
Sebahagian daripada babak aksi perlawanan Piala Dunia 2022 Kumpulan B di antara Wales dan England di Stadium Ahmad bin Ali di Doha. — Gambar AFP

DOHA: England menempah tiket ke pusingan kedua Piala Dunia 2022 menentang Senegal selepas Marcus Rashford dan Phil Foden masing-masing menjaringkan gol ketika kemenangan 3-0 ke atas Wales, sekali gus menyebabkan Wales tersingkir dari kejohanan pada Selasa.

Skuad kendalian Gareth Southgate mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua selaku juara Kumpulan B selepas sumbangan gol Rashford dan Foden selepas kedua-dua pemain itu dikembalikan ke kesebelasan utama.

Foden menunjukkan kenapa ada desakan untuk diletakkan dalam kesebelasan utama apabila memperolehi tendangan percuma yang disempurnakan Rashford untuk membuka jaringan pada awal separuh masa kedua perlawanan di Stadium Ahmad bin Ali.

Foden menambah jaringan tidak lama selepas itu untuk menamatkan perlawanan yang digelar “Pertarungan Britain” dan Rashford melengkapkan jaringan untuk memastikan penampilan pertama Wales di Piala Dunia sejak 1958 berakhir dengan kekecewaan.

Dengan Foden dan Rashford memberikan ketajaman di jentera serangan England yang tumpul sebelum ini – keputusan seri tanpa jaringan dengan Amerika Syarikat (AS) – Kemenangan ini adalah yang kedua dari sembilan perlawanan terakhir mereka.

Separuh masa pertama kelihatan hambar dan menunjukkan bahawa England masih mempunyai ruang untuk diperbaiki ketika mereka memburu kejuaraan pertama sejak memenangi Piala Dunia 1966.

Tetapi cara mereka bermain selepas rehat memberikan galakkan menjelang perlawanan menentang Senegal Ahad ini.

“Saya fikir kami mengawal sepenuhnya separuh masa pertama tetapi tidak mencipta cukup peluang. Kami merasakan bahawa dengan menukar posisi pemain sayap, kami boleh membuka ruang. Phil melakukannya dengan baik untuk mendapatkan sepakan percuma,” kata Southgate.

Ketika penyokong England menganggap Jerman dan Scotland adalah musuh utama mereka, Wales tidak pernah merahsiakan betapa mereka mahu menewaskan negara jiran yang dibenci itu.

Skuad Wales pernah dirakam meraikan kekalahan memalukan England di Euro 2016 apabila tewas kepada Iceland sementara penyerang Wales, Kieffer Moore baru-baru ini berkata dia mahu menyingkirkan England dari Piala Dunia.

Dengan mengimbau apa yang berlaku, menyingkirkan Wales dari kejohanan adalah satu bonus untuk England.

Tetapi apa yang lebih penting ialah memadam kekecewaan apabila dicemuh penyokong sendiri selepas aksi hambar ketika seri dengan AS.

Jurulatih Wales, Rob Page berkata: “Kami harus meletakkan perkara dalam perspektif. Kami tidak memiliki pemain yang dimiliki England. Ia satu pencapaian yang hebat untuk berada di sini.”

Rashford, salah seorang dari empat pertukaran dibuat oleh Southgate, mempunyai peluang terbaik untuk meletakkan England di hadapan apabila mengejar umpanan  Harry Kane tetapi mengambil masa terlalu lama untuk melakukan penyudah, membolehkan Danny Ward melakukan hadangan.

Gagal mencari ruang di hadapan pintu gol England, Wales hanya berkampung dalam kawasan mereka sendiri ketika pemain England menguasai bola tetapi tanpa mempunyai peluang terbaik.

Dikritik kerana prestasi hambar ketika tewas kepada Iran, kapten Wales, Gareth Bale dikeluarkan pada masa rehat kerana kecederaan.

Dan enam minit selepas rehat, ketiadaan Bale memastikan England mula berpesta gol.

Southgate berkata dia risau dengan kemungkinan beban yang tinggi diberikan ke atas Foden selepas desakan untuk diturunkan dalam kesebelasan utama tetapi dia tidak perlu berasa risau lagi selepas aksi cemerlang pemain kelab Manchester City itu pada Selasa.

Foden menjadi pemangkin gol pembukaan England apabila Rashford melakukan satu tendangan percuma cantik pada minit ke-50.

Gol itu membakar semangat England, yang kelihatan semakin bertenaga dan menambah jaringan seminit selepas itu apabila Foden menyempurnakan hantaran Kane.

Rashford melengkapkan jaringan untuk gol ketiganya pada kejohanan ini pada minit ke-68. — AFP
 

Advertisement