Anda di sini

DUN Sabah lulus RM5.138 bilion Belanjawan 2023 

Advertisement
 Hajiji (kanan) bersalaman dengan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan (kiri) pada Persidangan DUN Sabah.
SIDANG DUN: Hajiji (kanan) bersalaman dengan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan (kiri) pada Persidangan DUN Sabah.

KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan Belanjawan Negeri Sabah 2023 berjumlah RM5.138 billion yang dibentangkan oleh Ketua Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.

Speaker DUN Sabah Datuk Seri Panglima Mohd Kadzim M Yahya meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Perbekalan (2023) atau Belanjawan Sabah selepas disokong sebulat suara.

Hajiji dalam ucapan penggulungannya berkata, Belanjawan sebanyak RM5.138 billion itu diagihkan secara saksama dan berdasarkan kepada keperluan dan keutamaan kementerian dan jabatan.

Menurutnya, bermula Januari 2023, peruntukan yang diagihkan boleh terus digunakan oleh semua kementerian, jabatan dan agensi-agensi berkenaan.

"Saya menggesa agar semua program, aktiviti dan projek-projek yang dirancang dapat dilaksanakan dengan segera bagi memastikan hasrat kerajaan untuk pembangunan negeri tercapai  sekali gus rakyat mendapat manfaat daripadanya.

"Kerajaan juga akan memantau pelaksanaan program dan projek berkenaan dari semasa ke semasa.

"Saya menyeru agar semua kementerian dan jabatan pelaksana serta agensi kerajaan dapat menggunakan sepenuhnya peruntukan yang disediakan pada 2023," jelasnya.

Beliau berkata, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), siling peruntukan pembangunan negeri Sabah adalah sebanyak RM4.2 billion yang diagihkan untuk tempoh selama lima tahun.

Menurutnya, siling berkenaan ditentukan berlandaskan kepada kemampuan kewangan kerajaan negeri dan kebolehlaksanaan projek dengan ketersediaan tanah dan pelan pembangunan.

"Tahun hadapan, sejumlah RM788.94 juta diperuntukkan daripada Kumpulan Wang Negeri dan RM607.67 juta anggaran kerajaan negeri bagi keperluan pembangunan dalam bentuk pembiayaan pinjaman dan imbuhan balik Persekutuan.

"Bagaimanapun, agihan peruntukan sebenar Persekutuan hanya diketahui selepas pembentangan Belanjawan Negara Tahun 2023 oleh kerajaan baharu Persekutuan," katanya.

Beliau turut mengingatkan agar semua pihak memastikan pelaksanaan projek-projek yang dirancang dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan ataupun mendahului tempoh masa pelaksanaan.

Menurutnya, kementerian dan jabatan perlu ada komitmen yang tinggi, proaktif dan inovatif dalam melaksanakan tugas demi mencapai sasaran pembangunan yang dirancang untuk kepentingan dan keselesaan rakyat.
 

  • oleh
  • Advertisement