Anda di sini

Dua syarikat langsai tunggakan hutang CJN RM79.41 juta

Advertisement
 Masidi tiba untuk Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
DUN: Masidi tiba untuk Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

KOTA KINABALU: Syarikat Repsol Oil & Gas Ltd dan Sea Hibiscus Sdn Bhd tidak lagi mempunyai sebarang hutang cukai jualan negeri (CJN) selepas tunggakan berjumlah RM79.41 juta dibayar pada 3 Oktober 2022.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, syarikat Sea Hibiscus Sdn Bhd membayar tunggakan berjumlah RM70.05 juta manakala syarikat Repsol Oil & Gas Ltd melangsaikan pembayaran berjumlah RM9.36 juta.

"Kedua-dua syarikat berkenaan juga sudah mula membuat bayaran bagi cukai semasa," katanya menjawab soalan Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee (ADUN Dilantik) mengenai jumlah hutang CJN kedua-dua syarikat berkenaan sehingga bulan Oktober 2022 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.

Dalam pada itu Masidi turut menjelaskan satu lagi syarikat yang masih dalam perundingan untuk pembayaran CJN memandangkan ia masih dalam proses perundangan.

Menurutnya, syarikat berkenaan turut mencapai persetujuan di mahkamah untuk penyelesaian berhubung pembayaran CJN.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan sekiranya ada syarikat lain di negeri ini yang masih mempunyai tunggakan hutang CJN.

Selain itu katanya, syarikat yang terlibat dengan tunggakan hutang CJN antaranya terlibat dengan isu perundangan yang dipertikaikan pihak syarikat berkenaan.

"Tetapi kita beri pandangan yang sebaliknya sambil mengingatkan kepada mereka bahawa kita tidak akan teragak-agak untuk menggunakan kuasa penuh perundangan dan perlembagaan yang ada di Sabah dilaksanakan.

"Akhirnya pihak syarikat mengambil jalan untuk menyelesaikan secara baik dan akur dengan tuntutan yang dibuat kerajaan negeri," jelasnya.
 

  • oleh
  • Advertisement