Anda di sini

Berjudi di tempat awam, empat lelaki didenda RM700

Advertisement
 

SIBU: Empat lelaki warga emas masing-masing dikenakan hukuman denda RM700 atau penjara dua minggu oleh Mahkamah Majistret di Kapit, hari ini atas kesalahan berjudi di tempat awam.

Kong Shiaw Shii, 57, Kong Chung Min, 52, Kong Sian Jong, 63 dan Mohd Sulaiman Theng Abdullah, 71, dijatuhi hukuman itu setelah mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa bersama bermain judi di tempat awam di tepi sebuah restoran di Jalan Temenggung Jugah, Kapit pada 3 Ogos 2012, kira-kira jam 4.40 petang.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 7(2) Akta Judi Rumah Terbuka 1953 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Fakta kes menyatakan pada 3 Ogos 2012, kira-kira jam 4.40 petang, pihak polis telah menyerbu sebuah premis tidak bernombor bersebelahan sebuah restoran di Jalan Temenggong Jugah.

Hasil serbuan itu, pihak polis telah menangkap empat lelaki yang sedang bermain mahjong dan dua lagi lelaki yang disyaki pemilik premis tersebut.

Pihak polis turut merampas 112 biji buah mahjong, sebuah meja, tiga biji dadu, bekas dadu, tujuh buah kerusi dan wang tunai sebanyak RM627.80.

Sisatan pihak polis mendapati keempat-empat tertuduh sedang duduk bermain mahjong sementara dua orang lagi hanya memerhatikan mereka bermain ketika serbuan itu dilakukan.

Kesemua tertuduh dibebaskan setelah membayar denda masing-masing.
 

  • oleh
  • Advertisement