Anda di sini

Agenda meningkatkan kesejahteraan, sosioekonomi rakyat diteruskan: Awang Tengah

Advertisement
 

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan meneruskan agenda meningkatkan kesejahteraan dan sosioekonomi rakyat melalui Projek Pembaharuan Bandar di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dengan siling peruntukan berjumlah RM510.5 juta. 

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata projek ini dilaksanakan melalui Jabatan Tanah dan Survei, Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) dan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA). 

“Antara objektif utama pelaksanaan projek ini adalah untuk meningkatkan taraf dan kualiti hidup rakyat dengan menyediakan rumah mampu milik yang selesa dan teratur. 

“Penempatan terancang yang dilengkapi dengan infrastruktur asas utiliti, kemudahan rekreasi, tempat ibadah dan premis perniagaan untuk pembangunan sosio-ekonomi penduduk setempat turut disediakan,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulunggannya bagi Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini. 

Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua menambah di bawah RMK-12, sejumlah 14 projek Pembaharuan Bandar dilaksanakan yang mana kesemua projek ini berada dalam pelbagai peringkat perancangan dan pelaksanaan. 

Pada masa yang sama katanya, beberapa cadangan baharu projek Pembaharuan Bandar akan dicadang di bawah Kajian Semula Separuh Penggal RMK-12 nanti sebagai inisiatif berterusan kerajaan dalam memastikan kesejahteraan dan meningkatkan kualiti hidup rakyat selaras dengan hala tuju Sarawak Maju menjelang 2030. 

Projek Pembangunan Darul Hana katanya melibatkan perpindahan Fasa Pertama penduduk dari Kampung Semarang dan Kampung Panglima Seman Lama telah bermula sejak Ogos 2022. 

Perpindahan Fasa Pertama ini melibatkan 310 Ketua Isi Rumah (KIR) dan dijangka diselesaikan sepenuhnya ke Darul Hana pada hujung tahun 2022, katanya. 

Mengenai pembangunan bandar baharu, pekan baharu dan pusat perkhidmatan, Awang Tengah berkata ia turut diberi perhatian khusus di luar bandar. 

Ini katanya bagi memastikan jurang ekonomi antara kawasan bandar dan luar bandar dapat dirapatkan. 

“Kerajaan Sarawak melalui LCDA dalam RMK-12 akan meneruskan projek-projek tersebut di kawasan Bandar Baru Sebuyau dan Bandar Baru Simunjan di Samarahan, Pekan Baru Kabong di Betong, Bandar Baru Daro Fasa II, Pusat Perkhidmatan Matu, Pusat Perkhidmatan Igan dan Pusat Perkhidmatan Matadeng di Mukah, Pusat Perkhidmatan Lingga di Sri Aman dan Pusat Perkhidmatan Ulu Merapok di Lawas. 

“Penyediaan komponen seperti pasar tamu, kedai mampu milik dan industri kotej dalam bandar baharu dan pusat perkhidmatan ini bakal membuka peluang perniagaan kepada usahawan tempatan,” katanya. 
 

  • oleh
  • Advertisement