Anda di sini

1.06 juta hektar tanah NCR diukur perimeter setakat 31 Okt 

Advertisement
Awang Tengah (kiri) dan Datu Len Talif Salleh menunjukkan teks penggulungan bagi Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar. - Gambar Muhammad Rais Sanusi
Awang Tengah (kiri) dan Datu Len Talif Salleh menunjukkan teks penggulungan bagi Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar. - Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Seluas 1,060,811 hektar tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) berjaya diukur secara perimeter sehingga 31 Oktober tahun ini melalui Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata daripada jumlah itu, seluas 813,587 hektar telah diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri. 

Manakala pewartaan bagi baki kawasan yang telah diukur secara perimeter akan dilaksanakan secara berterusan, katanya. 

“Sejak tahun 2017, fokus pengukuran juga ditumpukan kepada pengukuran lot-lot individu di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri bagi kawasan yang telah diwartakan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri berdasarkan permohonan dan kesediaan penuntut-penuntut tanah tersebut. 

“Sehingga 31 Oktober tahun ini, sebanyak 58,606 lot individu telah berjaya diukur yang melibatkan kawasan seluas 74,181 hektar yang telah dan akan dikeluarkan surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulunggannya bagi Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini. 

Tambah Awang Tengah, bagi mempercepatkan pengukuran lot individu tanah NCR ini, penuntut tanah dikehendaki hadir semasa pengukuran di lapangan, menandakan sempadan tanah mereka dengan jelas dan mengelak pertikaian dalam membuat tuntutan agar pengukuran berjalan dengan lebih lancar. 

Kerajaan Sarawak katanya juga komited dalam memastikan kelangsungan program ini dan akan terus menyediakan dana yang diperlukan disamping dana yang diterima daripada Kerajaan Persekutuan. 

Dalam pada itu, pengukuran dan pengeluaran surat hak milik tanah NCR telah dilaksanakan sejak tahun 1960-an khususnya melalui Operasi Penyelesaian selaras dengan Bahagian V Kanun Tanah Negeri Bab 81. 

Bagi memastikan pengukuran tanah NCR dilaksanakan secara lebih efisien dan efektif, Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu telah dilaksanakan bermula pada tahun 2010. 
 

  • oleh
  • Advertisement