Anda di sini

SEDCO sentiasa perkasa ekonomi Bumiputera Sabah

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Usaha bagi meningkatkan ekonomi Bumiputera di Sabah melalui Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) sentiasa diberi perhatian. 

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Joachim Gunsalam berkata, penyediaan kemudahan perniagaan dan program-program keusahawanan di bawah SEDCO akan diteruskan pada tahun 2023.

"Sejumlah empat projek kedai sosio-ekonomi akan dilaksanakan tahun hadapan yang merangkumi pembangunan Kedai dan Hotel di Pulau Bum-Bum, Kedai Kalabakan, Kedai Weston dan Kedai Matunggong Fasa II.

"Pelaksanaan projek-projek ini yang diperuntukkan dana berjumlah RM7.5 Juta antara lain bertujuan meluaskan kemudahan premis perniagaan yang teratur dan selesa serta mampu milik untuk usahawan Bumiputera," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Belanjawan Negeri Sabah 2023, di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian berkata, usaha itu sekali gus menjadi mencetus nadi ekonomi di kawasan baharu yang berpotensi untuk membangun.

Teks ucapannya disampaikan oleh Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian Mohd Tamin Zainal.

Joachim berkata, bagi kemudahan usahawan-usahawan baharu, sebuah Pusat Inkubator Perniagaan bakal diwujudkan di Keningau tahun hadapan dengan peruntukan berjumlah RM350, 000.

Katanya, pusat itu akan menyediakan kemudahan 14 bilik pejabat, enam lot pejabat terbuka, kemudahan peti surat untuk disewa, tempat simpanan kiriman barangan dan beberapa kemudahan guna sama yang lain pada kadar mampu sewa kepada usahawan-usahawan baharu di daerah berkenaan.

Dalam pada itu katanya, sejumlah RM500,000 diperuntukkan kepada SEDCO pada tahun 2023 bagi menggiatkan program keusahawanan dengan matlamat utama melahirkan lebih ramai usahawan baharu serta meningkatkan kompetensi dalam mengurus perniagaan dengan menerapkan pengetahuan dan kemahiran perniagaan digital. 

Menurutnya, program-program yang disasarkan bagi tahun 2023 merangkumi Skim Usahawan Siswazah (SUS), Skim Usahawan Teknikal (SUT), program peningkatan usahawan mikro dan 14 kursus kemahiran perniagaan pelbagai. Program-program ini menyasarkan untuk memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 350 usahawan dan bakal usahawan.

Sementara itu katanya, usaha pembudayaan keusahawanan di kalangan generasi muda akan diteruskan pada tahun 2023.

"Ia selari dengan matlamat untuk menjadikan bidang keusahawanan sebagai kerjaya pilihan. 

"Sejumlah RM300,000 diperuntukkan tahun hadapan bagi maksud penganjuran aktiviti tahunan Program Tunas Niaga @ Protune di sekolah-sekolah terpilih di seluruh negeri," katanya.

Katanya, sebanyak 40 buah sekolah dan 1,000 pelajar bakal mendapat manfaat pendedahan dunia perniagaan secara amali daripada program ini.
 

  • oleh
  • Advertisement