Anda di sini

Remaja AS mengaku bersalah pembunuhan rasis di pasar raya

Advertisement
 

NEW YORK: Seorang remaja yang menyanjung ketuanan kulit putih mengaku bersalah kelmarin kerana membunuh 10 orang kulit hitam ketika serangan menembak yang distrim secara langsung di sebuah pasar raya di negeri New York, Amerika Syarikat (AS) pada awal tahun ini.

Payton Gendron, 19, akan menghabiskan baki hidupnya dalam penjara selepas mengaku berasalah atas tuduhan keganasan domestik yang bermotifkan kebencian kaum dalam pembunuhan beramai-ramai di Buffalo pada Mei lepas.

Peguam bela Daerah Erie County John Flynn berkata Gendron telah mengaku bersalah ke atas semua dakwaan terhadapnya, termasuk 10 tuduhan membunuh peringkat pertama, tiga cubaan membunuh dan satu tuduhan pemilikan senjata secara haram.

Wartawan di mahkamah melaporkan Gendron menyebut perkataan bersalah sebanyak 15 kali ketika perbicaraan kelmarin.

“Ketika keadilan telah dilaksanakan, tiada apa yang mampu membawa kembali 10 orang yang telah kehilangan nyawa mereka pada hari tersebut,” Flynn memberitahu wartawan.

“Diharapkan keputusan ini akan memberikan kelegaan kepada keluarga dan mangsa,” tambah beliau.

Gendron telah merancang serangan itu selama beberapa bulan, menyasarkan Tops Friendly Market di Buffalo disebabkan oleh populasi AS yang banyak di kawasan kejiranan sekelilingnya.

Pada 14 Mei, Gendron yang berusia 18 tahun ketika itu memandu dari kampung halamannya di Conklin, lebih 200 batu (322 kilometer) jauhnya, dengan niat untuk membunuh seramai mungkin orang kulit hitam, kata pendakwa raya.

Memakai perisai badan yang berat dan bersenjatakan selaras raifal serangan AR-15, Gendron menembak empat orang di kawasan letak kereta, tiga daripada mereka maut, sebelum memasuki pasar raya.

Antara mangsa yang terkorban di dalam pasar raya adalah seorang pesara polis yang bekerja sebagai pengawal keselamatan. Dia melepaskan beberapa das tembakan ke arah penyerang sebelum ditembak dan terbunuh, kata polis. 

Gendron, memakai topi keselamatan dengan kamera video dipasangkan, melakukan strim secara langsung serangan selama dua minit itu menerusi platform Twitch.

Mangsa berusia lingkungan 32 hingga 86 tahun. Sebelas daripada 13 orang yang ditembak adalah kulit hitam dan dua lagi kulit putih.

Pada satu ketika, Gendron menyatakan “maaf” kepada seorang lelaki kulit putih yang telah cedera dan pilih untuk tidak dibunuh, justeru menunjukkan ia adalah satu serangan yang bermotifkan perkauman, kata Flynn.

Polis menangkap Gendron dalam masa beberapa jam selepas serangan dan penyiasat menemui satu dokumen 180 muka surat dalam komputernya yang mendedahkan motivasi rasisnya bagi pembunuhan beramai-ramai.

“Ia adalah jelas ini merupakan satu tindakan yang dirancangkan lebih awal dan sangat jahat,” kata Datuk Bandar Buffalo Byron Brown kelmarin.

Gendron merupakan orang pertama di New York yang disabitkan atas tuduhan keganasan domestik negara, yang telah diperkenalkan pada 2020.

Dia dijangka akan dijatuhkan hukuman secara rasmi pada 15 Februari tahun depan. Kesalahan itu membawa hukuman mandatori penjara seumur hidup tanpa parol.

Peguam bela Brian Parker memberitahu wartawan bahawa Gendron tidak akan mengemukakan rayuan bagi kenyataan bersalahnya.

Dia masih berdepan tuduhan jenayah kebencian persekutuan yang akan melihat dia menerima hukuman mati.

Gendron  pada mulanya mengaku tidak bersalah atas tuduhan pembunuhan peringkat pertama sebelum pihak berkuasa negeri kemudian menambahkan dakwaan lain. — AFP

Advertisement