Anda di sini

Pendataan warga asing sudah dimulakan

Advertisement
 Abidin (kanan) bersalam dengan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor ketika dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
BERSALAMAN: Abidin (kanan) bersalam dengan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor ketika dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.


KOTA KINABALU: Kerajaan negeri telah memulakan aktiviti pendataan warga asing secara 'Pilot Test' di beberapa ladang kelapa sawit milik Kumpulan Syarikat Sawit Kinabalu.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir berkata, usaha itu seterusnya akan memulakan aktiviti pendataan sepenuhnya dalam tempoh enam bulan dari sekarang.

"Ianya bermula dengan sektor perladangan. Pendataan ini melibatkan kesemua pemegang IMM13, Sijil Banci MKN, Dokumen JKM (Burung-Burung) dan semua warga asing yang bekerja di Sabah.

"Kerajaan negeri memulakan aktiviti ini secara berfasa untuk memastikan segala proses pendataan dijalankan dengan teliti, teratur dan efektif," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Belanjawan Negeri Sabah 2023 bagi Jabatan Ketua Menteri, di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan mendapatkan data-data 'Biometric' yang dilengkapi dengan 'Facial Recognition'. 

Katanya, semua data yang diperolehi adalah milik kerajaan negeri, manakala aktiviti pendataan tidak akan memberikan taraf kewarganegaraan. 

Dalam pada itu katanya, isu berkaitan Bandaraya Kota Kinabalu khususnya isu banjir, sistem pengangkutan dan urban renewal. 

Abidin berkata, usaha untuk memperbesarkan kapasiti parit kecil di taman-taman perumahan sedang giat dilaksanakan terutama untuk kawasan-kawasan yang mudah banjir. 

"Keperluan peruntukan juga telah dikemukakan melalui Rancangan Malaysia Ke-12 di mana kerajaan negeri telah meluluskan RM3.8 juta untuk menangani beberapa kawasan yang telah dikenal pasti kawasan banjir.

"Memandangkan keperluan peruntukan yang agak besar termasuklah keperluan pengambilan tanah, pelaksanaan ini akan dibuat secara berperingkat sehingga 2032 selaras dengan 'Pelan Induk Saliran Bandaraya Kota Kinabalu 2017'," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement