Anda di sini

Pemuda mengaku miliki bakakuk dan peluru tanpa lesen didenda

Advertisement
 

SIBU: Mahkamah Majistret Kapit hari ini menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau penjara lima bulan terhadap seorang pemuda yang mengaku bersalah memiliki selaras bakakuk dan dua butir peluru tanpa lesen.

Daniel Sana, 25, didakwa melakukan kesalahan itu pada 15 November 2022, kira-kira jam 10 malam di dalam sebuah kereta di tepi Jalan Gukit Goram dan telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8(a), Akta Senjata 1960.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, pihak polis yang melakukan rondaan telah terserempak dengan sebuah kereta yang diparkir di tepi jalan dalam keadaan mencurigakan.

Selepas memperkenalkan diri kepada pemilik kereta iaitu tertuduh, pihak polis telah melakukan pemeriksaan dan menjumpai selaras senapang patah buatan sendiri atau bakakuk serta beberapa butir peluru yang diletakkan di bahagian tempat duduk hadapan kenderaan.

Sisatan pihak polis mendapati tertuduh memiliki senapang patah buatan sendiri dan peluru hidup di dalam kereta untuk memburu musang di tepi Jalan Bukit Goram.

Berdasarkan laporan Pengesahan Lesen Senjata Api daripada Pejabat Daerah Kapit menunjukkan tertuduh tidak memiliki lesen senjata api.

Hasil daripada ujian kebolehan menembak senapang patah atau bakakuk itu berserta dua butir peluru 12 Bore jenama Rio Ammo itu adalah positif dan senjata tersebut didapati berfungsi dengan baik.     

Advertisement