Anda di sini

Pandang serius usaha naik taraf jalan raya

Advertisement
WETROM
WETROM

KOTA KINABALU: Datuk Wetrom Bahanda (PKDM-Bandau) memandang serius perkara berkaitan perhubungan jaringan jalan raya di seluruh negeri khasnya di kawasan pedalaman.

Katanya, usaha menaik taraf jalan raya di semua kawasan seluruh negeri perlu diambil serius dan diberikan peruntukan yang lebih besar.

“Kota Marudu antara 10 daerah termiskin di Malaysia tetapi mempunyai hasil pertanian yang dipasarkan ke kawasan lain-lain.

“Untuk mengatasi masalah kemiskinan itu, usaha menaik taraf perlu dilaksanakan dengan serius dan bukan sekadar di Kota Marudu, tetapi sewajarnya di seluruh negeri dan negara juga kerana jalan raya merupakan infrastruktur asas yang sangat penting.

“Fungsi sebagai jalan perhubungan, untuk tujuan pengangkutan dan banyak lagi, termasuk meningkatkan taraf hidup dan ekonomi penduduk luar bandar, apabila mereka dapat membawa keluar hasil tanaman dan ternakan mereka untuk dipasarkan ke luar daerah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ucapan perbahasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini pada Selasa.

Beliau berkata, naik taraf jalan berkembar Langkon ke Pitas, Kota Marudu sepanjang 3.4 kilometer mampu menyumbang kepada nadi untuk peningkatan pembangunan di Kota Marudu.

Selain itu, naik taraf jalan Samparita ke Sonsogon Magandai, jalan Teringai, jalan Mangin dan jalan Rondomon Pata Tuhau juga yang sudah mendapat peruntukan daripada kerajaan persekutuan perlu dilaksanakan segera.

“Kita difahamkan sudah mendapat kelulusan dari pihak kerajaan pusat dan saya ingin memohon agar ia segera dilaksana, secepatnya untuk kegunaan dan kemudahan pergerakan rakyat kita.

“Saya juga ingin meminta perhatian dari pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri agar dapat menyenaraikan jalan Tanjung Batu ke Koromoko dan jalan Panaitan untuk perancangan menaiktarafkan jalan tersebut,” ujarnya.

Wetrom menegaskan bahawa keperluan untuk memperbaiki segala peralatan kritikal serta kemudahan lain perlu dilaksanakan dengan kadar segera terutama sekali yang melibatkan rawatan, perubatan dan berkait dengan nyawa.

“Sesuai dengan hala tuju kerajaan negeri untuk membangunkan infrastruktur negeri, saya yakin banyak bangunan lama yang sudah uzur dan di kawasan saya sendiri memang perlu difokuskan masalah ini kerana ia sangat diperlukan untuk menampung keperluan rakyat Kota Marudu.

“Hospital perlu dinaik taraf semua kemudahan mesin, teknologi perubatan dan banyak lagi kerana sektor perubatan adalah amat penting dan perlu seiring dengan keperluan dan perubahan semasa, ini melibatkan kualiti kesihatan dan nyawa rakyat kita.

“Peti sejuk untuk mayat sudah rosak dan perlu segera digantikan, dan masalah kekurangan bekalan perubatan seperti bekalan oksigen dan lain-lain juga perlu diatasi dengan kadar segera.

“Sudah tentu apabila ia berkaitan dengan sektor perubatan dan kesihatan, ia juga memerlukan kepakaran, keperluan tenaga kerja seperti doktor dan jururawat yang mencukupi, sepadan dengan nisbah penduduk serta keadaan kawasan, bukan sahaja di kawasan Kota Marudu, tetapi juga untuk semua daerah lain di seluruh Sabah,” katanya lagi.
 

  • oleh
  • Advertisement