Anda di sini

MetMalaysia keluar amaran ribut petir di sembilan negeri

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Johor, Sabah dan Sarawak sehingga 5 petang hari ini.

MetMalaysia dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan kejadian hujan lebat dan ribut petir di Kedah dijangka berlaku di Padang Terap, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu, manakala di Pulau Pinang melibatkan Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.

Di Perak, keadaan cuaca ribut dan hujan lebat dijangka berlaku di Kerian; Larut, Matang dan Selama; Hulu Perak; Kuala Kangsar; Kinta; Kampar dan Batang Padang.

Sementara di kawasan selatan, keadaan cuaca sama dijangka berlaku di Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah dan Rembau di Negeri Sembilan, serta di Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi di Johor.

Di pantai timur, MetMalaysia turut meramalkan cuaca serupa di Terengganu, melibatkan Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman, manakala di Pahang melibatkan daerah Cameron Highlands, Jerantut, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin.

Di Malaysia Timur, ribut petir, hujan lebat dijangkakan melanda di Kuching, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah (Tanjung Manis dan Daro) di Sarawak; dan Kudat di Sabah. 

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan MetMalaysia menjangkakan hujan lebat berterusan bermula di timur Sabah, pantai timur dan utara Semenanjung mulai esok hingga Isnin depan itu disebabkan oleh angin timuran yang kencang dari barat Lautan Pasifik.

MetMalaysia memaklumkan pada masa sama, satu sistem cuaca bertekanan rendah dijangka terbentuk di Laut China Selatan pada Jumaat ini yang diramal bergerak ke arah barat merentasi sempadan Malaysia- Thailand menuju ke Laut Andaman pada Sabtu dan Ahad, serta boleh meningkatkan intensiti hujan.

“Ombak besar dan angin kencang turut dijangka melanda pesisir pantai serta perairan Kelantan dan Terengganu. Keadaan ini adalah berbahaya kepada sebarang aktiviti pantai dan laut,” menurut kenyataan itu. 

MetMalaysia menasihatkan orang awam di kawasan terlibat agar lebih peka dan bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.

“MetMalaysia sentiasa memantau dan memaklumkan perkembangan sistem cuaca ini menerusi laman web, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi. Bagi pertanyaan lanjut, orang ramai juga boleh menghubungi hotline MetMalaysia di talian 1-300-22-1638,” menurut kenyataan itu. - Bernama 

Advertisement