Anda di sini

KPMKR Sabah sambut baik peruntukan RM157.58 juta tahun ini

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Sabah menyambut baik peruntukan sebanyak RM157.58 juta yang diberikan oleh kerajaan negeri pada tahun ini.

Menterinya, Datuk Shahelmy Yahya berkata peruntukan itu meningkat sebanyak RM23.46 juta iaitu 17.5 peratus berbanding tahun 2022.

Katanya, peruntukan itu menunjukkan komitmen tinggi serta keprihatinan kerajaan negeri dalam membangun dan mensejahterakan masyarakat khususnya golongan rentan dan yang memerlukan.

“Peruntukan tersebut dibahagikan kepada dua iaitu Perbekalan sebanyak RM145.88 juta dan Pembangunan sebanyak RM11.7 juta.

“Kementerian akan melaksanakan pelbagai projek dan program terutamanya kepada golongan sasar sepanjang tahun hadapan,” katanya ketika menyampaikan ucapan pengulungan Belanjawan Negeri Sabah 2023, semalam.

Menurutnya, pelbagai aktiviti pendidikan sosial di bawah perancangan 10 tahun untuk menamatkan perkahwinan kanak-kanak.

“Kementerian saya melalui Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) menganjurkan program kesedaran menangani isu tersebut kepada ibu bapa, pelajar sekolah menengah, guru-guru dan pemimpin akar umbi.

“Ia adalah memberi kesedaran dan pengetahuan kepada kanak-kanak, keluarga dan masyarakat serta membantu dalam memahami psikologi, perkahwinan, kesihatan reproduktif serta bimbingan,” katanya.

Sementara itu, katanya, sebanyak RM1.3 juta disalurkan setiap tahun kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO) bagi memastikan perkhidmatan kepada Orang Kurang Upaya (OKU) dapat ditingkatkan.

“Melalui peruntukan itu dianggarkan sejumlah 1,000 orang OKU telah diberi perlindungan, penjagaan dan bantuan pembangunan kapasiti masing-masing,”katanya.

Katanya, usaha penjagaan warga emas khususnya yang mengalami keadaan sakit, kementerian mempunyai program ‘Khidmat Bantu di Rumah’ dibawah Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS).

“Bagi tahun 2022, sejumlah RM1.9 juta telahpun dibelanjakan dan program ini akan diteruskan untuk tahun seterusnya,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement