Anda di sini

Kawasan sudah dikenal pasti untuk mangsa kebakaran Kg Bangau-Bangau

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Kawasan penempatan semula mangsa kebakaran Kampung Bangau-Bangau sudah dikenal pasti.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, penempatan semula itu melibatkan 233 buah rumah dengan 383 orang Ketua Isi Rumah (KIR). 

"Maklumat ini telah dikemukakan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku pelaksana yang telah dilantik oleh kerajaan negeri bagi melaksanakan projek penempatan semula ini. 

"Manakala, bagi mangsa-mangsa kebakaran Kg. Simunul, seramai 189 KIR telah ditempatkan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bubul Ria secara sewa," katanya ketika menyampaikan ucapan pengulungan Belanjawan Negeri Sabah 2023, di sini semalam.

Dalam pada itu katanya, semua PPR di Sabah adalah masih berstatus skim PPR Disewa. Ini
bertujuan agar golongan rakyat berpendapatan rendah mempunyai peluang yang sama untuk mendiami rumah-rumah PPR. 

Katanya, rumah PPR dianggap sebagai tempat tinggal sementara sehingga mereka mampu memiliki rumah yang lain.

"Apabila mereka berpindah, rumah PPR yang dikosongkan boleh disewa oleh keluarga yang lain," katanya.

Sementara itu katanya, kerja-kerja pembersihan sampah oleh Majlis Daerah Semporna masih dijalankan setiap hari.

Katanya, pembersihan di perairan daerah berkenaan juga dilaksanakan oleh pihak operator Majlis. Purata berat sampah yang dipungut oleh pihak operator ialah sebanyak 1.5 metrik tan sehari.
 

  • oleh
  • Advertisement